Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuar – Festival Seni Harmoni 2025 anjuran Koperasi Mbah Anang Muar Berhad dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merupakan program untuk meraikan dan memelihara warisan seni budaya tempatan budaya Jawa Malaysia.
Festival ini diadakan selama dua hari, iaitu pada 26 April hingga 27 April 2025 di Keraton Mbah Anang, Muar, Johor, dengan sokongan padu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, Majlis Kebudayaan Daerah Muar, Majlis Dewan Guru Muda Negeri Johor, dan penggiat Seni Silat Negeri Johor.
Sewaktu menyampaikan kata-kata aluan pembukaan majlis, Pengerusi Koperasi Mbah Anang Muar Berhad, YBrs, Tuan Johar Paimin menzahirkan ucapan terima kasih kepada peserta dan pengunjung yang hadir bagi menjayakan majlis yang dilaksanakan dengan meriah.
“Majlis ini dapat mengukuh jalinan silaturrahim dan mempererat nilai ukhuwah serta menyatukan hala tuju seni silat dalam era moden yang penuh cabaran,” kata beliau.
Beliau juga memaklumkan bahawa majlis ini bukan sahaja menemukan jasad pendekar, bahkan menemukan roh dan semangat perjuangan mempertahankan tanah air.
“Dengan adanya majlis seperti ini, saya percaya kita mampu meletakkan silat bukan sahaja sebagai warisan tetapi sebagai simbol perpaduan, pendidikan karakter dan identiti bangsa,” ujarnya.
Selain itu, majlis ini turut diserikan dengan beberapa acara, termasuklah pertunjukan Seni Silat, Tarian Zapin, Acara Pembukaan Gelanggang, dan persembahan gamelan tradisional.

Pada masa yang sama, acara ini dimeriahkan lagi dengan persembahan silat Nusantara yang terdiri daripada Persatuan Seni Silat Warisan Nusantara, Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia, Persatuan Seni Silat Kuningan, Pertubuhan Silat Tuah Langkah Empat, Persatuan Silat Sendeng Bismillah (Pukul Buah), Persatuan Seni Silat Kuantan (perSILATan), dan Persatuan Silat Selinggi Tunggal Malaysia.

Turut hadir dalam Festival Seni Harmoni termasuklah Dato’ Panglima Malaysia Komander Leftenan Komando 6021666, Batalion Tentera Darat Malaysia, YBhg. Pak Syeh mewakili Persatuan Cahaya Delima; Wakil Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Encik Mohamad Safran Nawi; Presiden Persekutuan Pencak Silat Negeri Johor merangkap Presiden Federasi Silat Tradisi Antarabangsa Malaysia, YBhg. Laksamana Utama Datuk Md Yusshalman Md Yusof; Timbalan Yang Dipertua PERSILAT Negeri Johor merangkap Ketua Majlis Dewan Perguruan PERSILAT, YBrs. Laksamana Anas Mat Ruzki; Setiausaha Kehormat Persekutuan Pencak Silat Negeri Johor, YBrs. Tuan Mohd Azizan Mohd Isa; dan Ketua Guru Dewan Guru Muda Negeri Johor merangkap Persatuan Seni Silat Warisan Nusantara Johor, YBhg. Tuan Guru Utama Nurfaiz Farhan Marhom.