17 Disember 2022, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia menganjurkan Festival Kraf Johor (FKJ) 2022 selama 11 hari bermula semalam hingga 26 Disember 2022 di Angsana Mall, Johor Bahru. Majlis perasmian FKJ 2022 yang berlangsung pada bahagian sebelah pagi disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi.

Datuk Hajah Saraya Arbi bersama-sama barisan Adiguru Kraf baharu bagi tahun 2022.

Menurut Datuk Hajah Saraya, penganjuran festival pada kali ini dapat menjadi platform promosi fizikal terbaik kepada para pengunjung sama ada pelancong domestik atau pelancong antarabangsa bagi mendapatkan produk kraf yang berkualiti dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Tambah beliau, usaha MOTAC dan Kraftangan Malaysia dalam melestarikan industri kraf membuahkan hasil apabila hingga 30 November 2022 yang lalu, prestasi nilai keseluruhan jualan kraf berjumlah RM258.5 juta, melebihi sasaran RM200 juta yang ditetapkan.

Jelas beliau lagi, lima bidang utama kraf yang meliputi tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf menjadi penyumbang utama nilai jualan tersebut.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi ketika berucap merasmikan FKJ 2022.

“Permintaan terhadap pelbagai produk kraf tempatan semakin mendapat sambutan apabila kerajaan memperuntukkan rebat baucar kepada para pengguna dan usahawan industri kraf,” kata Datuk Hajah Saraya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.

Pada masa yang sama, beliau juga turut menyampaikan watikah pelantikan kepada tiga orang Adiguru Kraf baharu bagi tahun 2022, iaitu Adiguru Kraf Sulaman Keringkam, Salbiah Muhi dari Sarawak; Adiguru Kraf Sulaman Pis, Crisna Mojupi dari Sabah serta Adiguru Kraf Sulaman Linangkit, Emis @ Emmilianah Dahun juga dari Sabah.

“Adiguru kraf merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang penciptaan serta pertukangan produk kraf tangan yang mempunyai identiti tempatan,” ujar Datuk Hajah Saraya.

Beliau juga menyatakan harapan agar FKJ 2022 ini dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua usahawan dan komuniti kraf tangan dalam membantu menjana pendapatan yang tinggi selain menjadi destinasi kunjungan utama bagi para pelancong domestik dan antarabangsa serta menjadi acara yang wajib dianjurkan dan dikunjungi oleh masyarakat setempat sempena musim cuti sekolah dan cuti perayaan.

Persembahan tarian berkonsepkan kraf sempena Majlis Perasmian Festival Kraf Johor (FKJ) 2022.

FKJ 2022 merupakan festival yang kesembilan dianjurkan sejak tahun 2019 dan merupakan “Marquee Event” yang dinanti-nantikan oleh semua pihak. Festival pada kali ini berjaya menghimpunkan seramai 217 orang usahawan kraf dari seluruh negara termasuklah pameran daripada agensi kerajaan dan swasta dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM7.5 juta dengan menyasarkan kehadiran seramai 50 ribu orang pengunjung.

FKJ 2022 mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan kraf, Pameran Khas “Ini Batik Malaysia”, pameran dan jualan produk komuniti kraf, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Adiguru Kraf 2022, Pameran MYCRAFTSHOPPE, demonstrasi dan interaktif kraf batik Malaysia, Wacana Kraf “Ini Batik Malaysia”, Cita Rasa Malaysia Ku, aktiviti galakan pengunjung dan khidmat iring.

Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke FKJ 2022 dan menikmati baucar bernilai RM30 dengan setiap gandaan RM100 pembelian produk kraf tempatan.

Majlis perasmian FKJ 2022 juga boleh ditonton secara dalam talian menerusi https://www.youtube.com/watch?v=rdjDOFnM-hs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.