Diterbitkan pada 19 April 2025, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Silat Semerap merupakan satu daripada silat seni yang dahulunya terkenal di Pulau Pinang, khususnya dalam majlis perkahwinan Melayu. Berbeza daripada silat tempur atau seni bela diri lain, silat semerap lebih berunsurkan persembahan yang melambangkan simbolik kehalusan budaya serta keindahan gerak dalam dunia persilatan.

Keistimewaan utama Silat Semerap terletak pada cara persembahannya yang unik dan berbeza daripada silat lain. Dalam setiap persembahan, pesilat mewakili pihak pengantin lelaki dan perempuan membawa bunga pahar atau tepak sirih kecil. Persembahan ini bukan sekadar tontonan seni bela diri, tetapi turut menggambarkan simbolik penyatuan dua keluarga dalam adat perkahwinan Melayu.

Pada penghujung persembahan, pesilat akan melakukan pertukaran simbolik yang mencerminkan restu serta keharmonian antara kedua-dua belah pihak keluarga pengantin. Elemen ini menjadikan silat semerap bukan sekadar seni pertahanan diri, tetapi juga satu bentuk seni budaya yang sarat dengan makna tersirat.   

Bagi memastikan seni warisan ini terus dipelihara, silat semerap kini dilestarikan oleh Persatuan Seni Silat Tua Melayu Pulau Pinang, yang berpusat di Kampung Rawa, Pulau Pinang.  Pewaris semasa seni ini ialah Murshid dan Farhana.  Mereka berdua merupakan antara anak murid yang aktif mempersembah seni ini mengikut keperluan semasa dan kehendak persatuan.

Guru kepada pewaris ini ialah Tuan Haji Zainal Abidin Shaik Awab, seorang tokoh silat yang aktif memperkenalkan keunikan silat semerap kepada generasi baru dan telah berkecimpung lebih 50 tahun dalam seni dan budaya ini.

Kedua-dua pewaris ini sering dijemput untuk mempersembahkan silat semerap dalam pelbagai acara, termasuk majlis perkahwinan dan program kebudayaan.  Selain daripada memenuhi undangan dan tuntutan mencapai objektif program, usaha ini bertujuan memastikan seni silat ini terus hidup dan diwarisi oleh generasi seterusnya.

Walaupun silat semerap pernah mendapat tempat dalam masyarakat suatu ketika dahulu, kini seni ini semakin kurang dikenali, terutama dalam kalangan generasi muda.  Antara cabaran utama yang dihadapi adalah kurangnya pendedahan dan usaha pemeliharaan seni ini dalam arus moden.

Namun begitu, dengan adanya dedikasi dan usaha daripada tokoh seperti Tuan Haji Zainal Abidin Shaik Awab, serta pewarisnya seperti Murshid dan Farhana, daptlah disingkap sinar harapan bahawa silat semerap akan terus dipelajari, diwarisi seterusnya dilestarikan generasi seterusnya.

Usaha memperkenalkan seni ini melalui latihan, dokumentasi dan persembahan dalam majlis perkahwinan serta acara kebudayaan boleh membantu memastikan warisan ini tidak lenyap ditelan zaman.

Silat semerap bukan sekadar seni pertahanan diri, tetapi juga satu lambang kehalusan budaya Melayu yang sarat dengan nilai hormat, disiplin dan keindahan gerak.

Diharapkan lebih ramai, terutama generasi muda, dapat mengenali, menghargai, dan menyertai seni ini agar terus hidup sepanjang zaman.  Sokongan masyarakat terhadap warisan budaya adalah kunci utama dalam memastikan kelangsungan silat semerap sebagai sebahagian daripada identiti seni warisan Melayu terutamanya milik Melayu Pulau Pinang.

Pantun Warisan Silat Semerap

Silat Semerap seni beradat, 

            Bunga pahar dalam genggaman;

Warisan lama dalam masyarakat, 

      Mari dijaga sepanjang zaman. 

 

Sirih junjung bersusun rapi, 

         Tanda hormat penuh berbudi;

Silat Semerap jangan dilupai, 

      Agar kekal sepanjang abadi. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi