Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tokoh seni yang disegani, penulis lirik tersohor, Yusnor Ef – atau nama sebenarnya Mohamed Noor Mohamed Yusofe telah meninggal dunia di Hospital Besar Sengkang, semalam.
Pemergian Allahyarham yang berusia 87 tahun disahkan oleh anaknya, Cik Noreeta Mohamed Noor, 47 tahun. Menurut beliau, bapanya mengalami kesukaran bernafas sehari sebelum itu dan menghidap penyakit jantung kronik sejak lebih dua dekad lalu.
Suami Cik Noreeta, Encik Rahmad Basir, turut berkongsi berita duka itu di Facebook, memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di 99 Saraca Terrace. Maklumat lanjut tentang solat jenazah dan pengebumian akan diumumkan kemudian.
Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Yusnor, dikenang sebagai penulis lirik prolifik yang mencorak landskap muzik Melayu sejak lebih 50 tahun lalu.
Karya beliau mengiringi melodi komposer tersohor seperti Allahyarham P. Ramlee, Zubir Said dan Kassim Masdor, serta dinyanyikan oleh bintang-bintang ternama seperti Anita Sarawak, Ahmad Jais dan Sanisah Huri.
Pada tahun 2022, beliau telah menerima Anugerah Bintang Bakti Masyarakat dan Pingat Budaya – penghargaan tertinggi negara dalam bidang seni.
Bintang BBM diperkenal pada tahun 1963 itu yang diterima Encik Yusnor mengiktiraf seseorang individu yang telah berbakti dengan sumbangan bernilai kepada rakyat Singapura atau telah mencapai kecemerlangan dalam bidang seni dan persuratan, sukan, sains, perniagaan, kerjaya tertentu dan pergerakan buruh.
Encik Suhaimi Jais, Mantan Pengerusi Kanan Mediacorp Suria dan Mediacorp Eaglevision, turut berdukacita dengan berita ini dan dan mengatakan Allahyarham merupakan karyawan seni yang banyak berjasa menyemarakkan kesenian dan dunia hiburan.