Diterbitkan pada 30 Mei 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Karya sastera tempatan disifatkan sebagai nadi penting dalam penghasilan filem dan drama bermutu. Oleh itu, ketiadaan penghayatan terhadap bahan sastera dikhuatiri menyebabkan karya visual kehilangan roh dan identiti budaya.”

Perkara itu dibicarakan dalam Wacana “Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera” yang menampilkan Penyelidik Karya Tan Sri P. Ramlee, Dr. Siti Raihani Mohd. Said, Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem; Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Encik Azrie Izham Hamzah; dan Penerbit Rancangan Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Wan Afzam Wan Daud.

Wacana yang dikendalikan oleh penulis prolifik Encik Muhammad Za’im Mohamad Yusoff telah berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Para panel yang membicarakan Wacana Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Za’im Mohamad Yusoff.

Wacana ini memfokuskan hubungan antara dunia persuratan dengan industri visual tempatan. Contohnya pembikin filem terdahulu seperti P. Ramlee dan Jins Shamsuddin menjadikan novel, hikayat dan cerita rakyat sebagai sumber utama bagi penerbitan sesebuah filem kerana karya sastera memiliki nilai pemikiran, emosi dan budaya yang kuat.

Penyelidik Karya Tan Sri P. Ramlee, Dr. Siti Raihani Mohd Said berkata, usaha mengadaptasi karya sastera sebenarnya telah lama berlaku sejak era Jalan Ampas dan Cathay-Keris apabila banyak filem diangkat daripada novel dan cerita rakyat tempatan.

Menurut beliau, karya sastera bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya menjadi asas penting dalam membentuk kekuatan sesebuah filem.

Antara tetamu yang hadir bagi memeriahkan acara termasuklah mantan Presiden Karyawan, Dato’ Freddie Fernandez, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Yunus dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Dr. Rosmani Omar.

Sementara itu, Penerbit Rancangan Unit Drama TV RTM, Encik Wan Afzam Wan Daud berkata, filem yang baik bukan hanya bergantung pada visual semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai jiwa yang kuat seperti yang terkandung dalam karya sastera.

Beliau menjelaskan bahawa pembaca karya asal lazimnya mahu melihat roh dan emosi yang sama apabila karya tersebut dipindahkan kepada medium visual.

Wacana itu turut menegaskan bahawa hubungan antara dunia filem dengan sastera perlu diperkukuh semula supaya karya-karya tempatan terus berkembang dan tidak kehilangan identiti budaya sendiri.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi