Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menjadi gelanggang DBP-RTM “buka panggung” cereka khas Srikandi, semalam.
Program ini merupakan langkah promosi awal yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM). Srikandi merupakan cereka khas yang diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM yang diinspirasikan daripada karya Syair Siti Zubaidah Perang China, terbitan DBP.
Menurut Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari,
Karya Srikandi merupakan penerbitan kerjasama yang ketujuh oleh RTM sejak tahun 2019 menggunakan karya terbitan DBP dan ini pertama kali RTM menggunakan sumber syair klasik. DBP memberikan sokongan dan dukungan penuh bagi penghasilan karya ini. Kita hanya menanti detik dan ketika untuk tayangan karya ini.
Dengan sela masa yang ada, DBP turut membantu perkara yang terkait bagi mempromosikan karya ini kepada masyarakat. Maka itu, sedikit banyak, hasrat Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri untuk DBP mengangkat karya agung disambut dengan kerjasama erat daripada RTM.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Suhaimi Sulaiman,
Karya Srikandi menjadi bukti bahawa RTM menjadikan karya sastera sebagai sumber bagi penghasilan karya yang bermutu.


Program pada petang itu turut diserikan dengan lantunan Syair Siti Zubaidah oleh YBrs. Dr. Shafa’atusara Silahudin, tarian piring, persembahan silat dan nyanyian lagu rasmi Srikandi oleh Asmidar.
Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah para pelakon Srikandi, wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional dan rakan kerjasama yang lain.
Untuk rekod, karya Srikandi merupakan arahan Saudara Wan Afzam Wan Daud dan bakal disiarkan pada 31 Ogos 2025 di saluran RTM 2.
