Diterbitkan pada 5 Jun 2025, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria tengah hangat ditayangkan di seluruh pawagam dan telah mendapat sambutan luar biasa merentas lapisan usia, kaum dan latar belakang, sekali gus memperlihatkan kekuatan naratif serta kematangan industri animasi tempatan dalam menambat hati penonton Malaysia.

Menariknya, kemunculan filem ini bertepatan dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang diraikan pada 5 Jun 2025. Tema sambutan tahun ini memberi penekanan kepada cabaran urbanisasi dan kelestarian teknologi, selaras dengan mesej tersirat yang diketengahkan dalam filem tersebut.

Filem ini bijak menyampaikan isu seperti pembangunan bandar moden yang tidak terkawal dan penyalahgunaan teknologi yang mampu mengundang bencana kepada masyarakat dan alam sekitar.

Sebagaimana yang dipetik dalam artikel The Economist, “The danger of relying on OpenAI’s Deep Research”, teknologi sepatutnya berperanan sebagai alat bantu kepada manusia. Namun begitu, apabila manusia terlalu bergantung kepada teknologi sehingga gagal mengawalnya, natijahnya boleh membawa kepada kemerosotan produktiviti, kemalasan dan kehilangan nilai keusahawanan. Amaran ini sejajar dengan naratif filem yang memperlihatkan bagaimana teknologi tanpa kawalan boleh menjadi ancaman dan bukannya penyelesaian.

Lebih bermakna, tanggal 31 Mei 2025, Malaysia telah dilantik secara rasmi sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029. Pelantikan ini bukan sahaja satu penghormatan, malah membuka ruang kepada Malaysia untuk memainkan peranan penting di peringkat global dalam mempromosikan pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan berdaya tahan iklim.

Kebetulan antara tayangan filem, sambutan Hari Alam Sekitar, dan pelantikan Malaysia dalam UN-Habitat meletakkan Ejen Ali The Movie 2 dalam konteks yang lebih besar sebagai medium yang bukan sekadar menghibur, tetapi turut mencetuskan kesedaran dan perbincangan mengenai masa depan perbandaran serta tanggungjawab manusia terhadap teknologi dan alam sekitar.

Cyberaya Manifestasi Kepada Bandar Inklusif dan Mampan

Antara babak paling mencuri perhatian dalam Ejen Ali The Movie 2 ialah pergelutan tegang yang berlaku di terowong SMART Cyberaya lokasi fiksyen yang jelas mengambil inspirasi daripada terowong SMART sebenar di Kuala Lumpur.

Filem ini berjaya menyerlahkan bagaimana infrastruktur negara yang mesra alam, seperti terowong SMART yang mula beroperasi pada tahun 2007, memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko banjir kilat dan kelancaran aliran trafik ibu kota.

Namun begitu, dalam naratif filem, sistem terowong tersebut telah digodam melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), mengakibatkan kekacauan dan ancaman terhadap nyawa pengguna lebuh raya. Kejadian serupa turut ditampilkan di sebuah taman tema kanak-kanak yang tiba-tiba bertukar menjadi zon bahaya akibat serangan siber.

Situasi ini memberi amaran jelas – alam sekitar dan keselamatan awam bukan sahaja terancam akibat pembangunan fizikal yang tidak lestari, malah turut terdedah kepada bahaya teknologi yang tidak dikawal. Filem ini mengangkat mesej bahawa dalam menuju masa depan bandar pintar dan inklusif seperti Cyberaya, kawalan, etika, dan tanggungjawab dalam penggunaan teknologi perlu menjadi keutamaan agar kemajuan tidak menjadi punca kemusnahan.

Alam sekitar, Warisan dan Impak Animasi Legenda Tanah Air

Penulis yakin bahawa jenama  Ejen Ali memiliki potensi untuk menjadi warisan animasi legenda Malaysia. Tiga dekad dari sekarang sekiranya keamanan global terpelihara dan kelestarian negara terus dijaga Ejen Ali bakal dikenang sebagai karya ikonik yang berjaya menyampaikan isu-isu sejagat menerusi perspektif tempatan.

Sebagaimana kisah legenda terdahulu yang sinonim dengan elemen alam sekitar seperti Naga Tasik Chini (elemen tasik) Legenda Sumpahan Mahsuri di Langkawi (berlatarkan pulau), dan Legenda Puteri Gunung Ledang (berlatarkan gunung), Ejen Ali membawa naratif kontemporari yang berakar dalam realiti semasa, berteraskan teknologi serta cabaran era moden.

Aspek alam sekitar penting diangkat bagi memastikan kesinambungan warisan daripada hikayat klasik ke skrin digital yang mencerminkan evolusi nilai budaya dan penceritaan tempatan.

Inspirasi Global menerusi Animasi China, Ne Zha 2

Satu contoh kejayaan luar biasa dalam dunia animasi antarabangsa ialah filem Ne Zha 2 dari China, yang mencabar dominasi pasaran animasi Hollywood apabila mencatat kutipan melebihi USD 1 bilion, mengatasi filem pecah panggung Star Wars: The Force Awakens.

Seawal tahun 1990-an, kerajaan China telah menyedari pengaruh media Barat dalam membentuk sudut pandang global terhadap China. Dengan memahami konsep kuasa lunak (soft power). Beijing melabur berbilion dolar dalam industri kandungan kreatif termasuk animasi sebagai strategi diplomasi budaya dan persaingan global dengan mengetengahkan legenda silam negara China.

Kejayaan ini wajar menjadi inspirasi kepada Malaysia. Maka pujian harus diberikan kepada penggiat filem animasi tempatan, yang memperoleh sokongan kerajaan serta dukungan daripada para pemegang taruh. Perkara ini membuktikan bahawa dengan pelaburan, dasar yang jelas, dan kreativiti tinggi, animasi tempatan juga mampu mengukir nama di pentas antarabangsa.

Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria bukan sekadar karya hiburan kanak-kanak. Akan tetapi filem ini merupakan refleksi terhadap cabaran zaman moden, apabila teknologi, budaya, dan kelestarian alam saling bertembung.

Dalam arus globalisasi, perhatian serius terhadap kepentingan menghargai filem animasi tempatan bukan sahaja sebagai produk kreatif, tetapi sebagai cerminan identiti, jati diri dan suara Malaysia di persada dunia.

Akhirnya, masyarakat harus turut memainkan peranan dengan menghayati khazanah seni warisan tanah air baik dalam bentuk animasi, teater, mahupun penulisan karya sastera. Warisan budaya bukan hanya untuk dikenang, tetapi perlu dizahirkan, didukung dan dihidupkan semula agar terus bernyawa dalam jiwa generasi kini dan akan datang.

________________________________

Ahmad Mustaqim Bin Zolkafali merupakan Ketua Pentadbiran Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal, ALAF-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tulisan ini juga mendapat sentuhan Prof. Dato’ Sri Dr. Mushrifah Idris, yakni Profesor Kehormat UKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi