Oleh Pie Asyraf
Diterbitkan pada 16 Jun 2025, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelakon ternama Hong Kong, Louis Koo memuji produksi Malaysia kerana sangat komited dan pantas memberikan reaksi dalam lakonan secara spontan.

Beliau menyatakan hal tersebut sewaktu  mempromosikan filem Behind The Shadow yang menjalani penggambaran sepenuhnya di sekitar Malaysia, melibatkan hampir 100 kru dan pelakon tempatan.

Beliau turut menyatakan rasa kagum terhadap potensi dan bakat seni produksi tempatan, terutama selepas menyaksikan sendiri kreativiti dan kemahiran Sofyank dalam penghasilan video promosi.

Dalam video tersebut, Sofyank dilihat berjalan di koridor pawagam sambil memegang bertih jagung sebelum terjatuh akibat ditolak peminat lain. Dalam kekecohan tersebut, secara mengejut Louis Koo “keluar” dari poster filem yang tertampal di atas dinding sambil menawarkan bertih jagung yang baharu.

Lebih mencuit hati, Louis Koo turut menuturkan beberapa ayat dalam Bahasa Melayu dengan loghat Kantonis yang mencuit hati, iaitu  “jom sapot.”

Aksi spontan ini mendapat reaksi positif netizen yang rata-ratanya terhibur dan tidak menyangka pelakon legenda itu mampu menyebut Bahasa Melayu dengan begitu comel. Ramai menyifatkan gabungan dua budaya ini sebagai sesuatu yang segar dan menghiburkan.

“Kami memang cuba pujuk Louis untuk cakap dalam Bahasa Melayu walaupun itu bukan bahasa yang biasa dengannya. Tapi beliau sangat terbuka dan semangat untuk mencuba, itu yang paling menggembirakan kami semua” tambah Sofyank.

Sofyank turut berkongsi rasa bangga apabila Behind The Shadow menjadi antara filem Cina yang 100 peratus menjalani penggambaran di Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa bukan saja negara Barat, tapi juga negara Timur kini mula melihat potensi besar di pasaran Malaysia. Secara peribadi, saya juga memang ada impian untuk bawa nama Malaysia lebih jauh di peringkat antarabangsa”

“Pada masa yang sama, saya juga bangga kerana semakin ramai pembikin filem luar mula mengiktiraf bakat tempatan. Saya harap industri kita akan terus berkembang dan diberi lebih banyak peluang.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi