Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin menyatakan lambang negara merupakan asas kepada maruah dan kedaulatan sesebuah negara yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh seluruh rakyat.
Beliau menyatakan hal tersebut dalam Forum Khas Menyanjung Lambang Kebesaran Negara: Tanggungjawab Setiap Warganegara anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), semalam.
Dalam ucapan perasmiannya, Nik Kamaruzaman menekankan kedaulatan negara bukan sahaja berkisar tentang keselamatan sempadan atau ancaman luaran, tetapi turut merangkumi penghormatan terhadap simbol-simbol rasmi negara yang mencerminkan identiti dan warisan kita.
“Rakyat mesti sentiasa peka dan berhati-hati dalam tutur kata, penulisan dan sebarang bentuk komunikasi yang melibatkan lambang negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa media memainkan peranan penting dalam menyampaikan gambaran sebenar tentang kestabilan dan keharmonian negara kepada dunia.
Oleh itu, beliau menyeru agar komuniti media yang terdiri daripada golongan profesional dan terpelajar sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik serta bertanggungjawab dalam menjaga imej dan maruah negara.
Sementara itu bagi Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin berkata forum ini merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna dalam memperkukuh kefahaman serta kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pengamal media kerajaan dan swasta, mengenai peranan dan nilai lambang-lambang kebesaran negara seperti Jalur Gemilang, Jata Negara, Lagu Negaraku dan Rukun Negara.
“Lambang-lambang ini bukan sekadar simbol semata-mata tetapi mewakili sejarah, maruah dan kedaulatan negara yang telah kita warisi dan wajib kita pelihara. Sebagai institusi latihan awam dalam bidang penyiaran, penerangan dan teknologi kecerdasan buatan (AI), IPPTAR sentiasa komited untuk meneruskan penganjuran program berbentuk wacana ilmiah seperti ini, yang mampu menyemai rasa hormat, tanggungjawab serta semangat patriotisme dalam kalangan peserta.

Media pula memegang peranan yang amat penting dalam membentuk pemikiran masyarakat dan persepsi antarabangsa terhadap negara kita. Maka adalah amat penting untuk setiap pengamal media memahami sensitiviti dan menghargai lambang-lambang negara, supaya tidak disalah guna atau dipandang remeh dalam mana-mana bentuk penyampaian maklumat,” ujar Roslan.
Bagi Koordinator Kluster Komunikasi Strategik (KKS) IPPTAR, Nurul Najwa Mohd Amin yang menjadi penyelaras Forum Khas Menyanjung Lambang Kebesaran Negara: Tanggungjawab Setiap Warganegara menegaskan, forum seumpama ini penting untuk diadakan lebih kerap pada masa akan datang.
“Forum seperti ini sangat penting diadakan secara berkala kerana mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai erti sebenar lambang kebesaran negara dan peranan setiap warganegara dalam memelihara maruah dan identiti negara”

“Lambang negara bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi mencerminkan sejarah, perjuangan, dan jati diri negara yang perlu dihormati. Sebagai rakyat, kita harus dididik untuk memahami makna di sebalik lambang ini agar rasa cinta dan tanggungjawab terhadap negara semakin kukuh. IPPTAR komited meneruskan inisiatif ini sebagai platform komunikasi strategik yang berimpak dan berterusan,” tegas Nurul Najwa.
Terdahulu, empat orang panel ditampilkan dalam forum yang julung kali diadakan ini, iaitu Dr. Muhamad Saifulbakri Yusoof (Penolong Pengarah Kanan, Akademi Kenegaraan Malaysia), Mohd Sabri Abdullah (Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, JAPEN), Ruddyansjah Mahtar Hams (Pegawai Penerangan Daerah Petaling, JAPEN) dan Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin (Setiausaha Dewan Rakyat).

Forum ini merupakan inisiatif IPPTAR bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pengamal media kerajaan dan swasta mengenai erti serta nilai simbol-simbol kebangsaan seperti Jalur Gemilang, Jata Negara dan Lagu Kebangsaan.
Program ini juga bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan baru-baru ini, yang menyeru rakyat memperkukuhkan perpaduan sebagai hadiah kepada Tuanku.
Turut hadir dalam program ini ialah Penasihat Undang-Undang Kementerian Komunikasi, Farhati Ahmad Tajuddin dan Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam.