Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Bersempena dengan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH) menganjurkan Pameran Imbas Kenangan pada 21 Jun 2025.
Menurut Puan Nor Azrina Kassim, pustakawan PDJH, tujuan penganjuran pameran tersebut adalah untuk memperingati sejarah penubuhan dan perkembangan UiTM Cawangan Perlis, di samping meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepentingan memelihara bahan arkib sebagai warisan institusi.
“Pameran ini diadakan untuk menghargai dan memperingati warisan sejarah UiTM Cawangan Perlis melalui koleksi bahan arkib seperti gambar lama, dokumen rasmi dan peralatan pejabat yang digunakan oleh warganya pada tahun 1980-an dan 1990-an,” katanya.
Menurut beliau, para pengunjung dapat melihat pelbagai koleksi gambar lama dan pakaian seragam yang pernah dipakai oleh warga universiti yang pastinya mengamit kenangan dan memori terutamanya dalam kalangan staf kanan yang bakal bersara.

“Antara tarikan menarik yang dipamerkan termasuklah koleksi gambar lama yang merakam detik awal penubuhan dan perkembangan UiTM Cawangan Perlis; Uniform unit kesatria dan baju batik UiTM yang pernah digunakan oleh staf pada era terdahulu serta peralatan pejabat lama yang membangkitkan nostalgia suasana kerja pada masa lalu,” katanya.
“Pada masa yang sama, PDJH juga menyediakan pertandingan berbentuk kuiz interaktif berkaitan dengan bahan pameran untuk menguji pengetahuan dan memeriahkan lagi sambutan hari arkib,” tambah beliau.

Selain itu, terdapat juga pameran tentang pengurusan rekod dan arkib yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada warga kampus tentang kepentingan pengurusan rekod dan arkib yang sistematik, serta memupuk kesedaran terhadap peranan rekod sebagai aset institusi yang bernilai dalam mendukung tadbir urus, penyelidikan, dan warisan organisasi.
“Pameran ini dapat memberikan pendedahan tentang peranan yang dimainkan oleh Unit Arkib bagi memastikan rekod universiti diurus dan dipelihara dengan baik, termasuk aspek fizikal seperti penjilidan,” katanya.