Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berhasrat mengembangkan pengisian penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34, tahun ini.

Ujar Hans atau Gerald Hans Isaac, 53, usaha itu  akan direalisasikan menerusi tiga teras, iaitu penghargaan, pengisian dan jelajah komuniti bagi memastikan anugerah ini tidak bersifat eksklusif untuk penggiat industri semata-mata.

“Kita mahukan FFM jadi cerminan kepada perubahan dan meraikan keunikan. Tahun ini FFM akan ditampilkan dengan pengisian lebih menyeluruh dan mendalam merangkumi tiga teras utama.

“Pertama, pengiktirafan sebanyak 30 kategori yang dipertandingkan merangkumi pengarahan, teknik, dokumentari, animasi termasuk Anugerah Sepanjang Zaman dan Anugerah Box Office (Pecah Panggung).

“Kedua, penganjuran simposium di mana akan ada bengkel teknikal, tayangan, ruang untuk berkongsi ilmu bersama tokoh tempatan dan antarabangsa untuk pembangunan bakat.

“Seterusnya, FFM akan turun padang menerusi jelajah komuniti, program audio siar digital dan promosi akar umbi supaya festival ini tidak hanya dilihat sebagai milik industri, tetapi buat milik rakyat Malaysia juga,” katanya.

Hans ditemui wartawan Jendela DBP semasa majlis sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-34, di sini, semalam.

Dalam pada itu, sebuah kategori baharu diperkenalkan, iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik yang bakal membawa pulang trofi dan hadiah kemenangan berjumlah RM5000.

FFM ke-34 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyasarkan penyertaan kira-kira 60 filem tempatan yang ditayangkan bermula 1 Julai 2024 sehingga 30 Jun 2025.

Majlis kemuncak anugerah berprestij ini akan berlangsung pada Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 8 November depan.

Turut hadir merasmikan FFM34, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (tengah).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi