Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarah filem Indonesia, Garin Nugroho berpendapat filem yang mengangkat isu sosial dan keadilan hanya akan memberi impak sekiranya berjaya melahirkan rasa empati dalam kalangan penonton.
Jelas Garin, sebuah filem yang membawakan tema sensitif tidak sepatutnya bersifat didaktik, iaitu ditampilkan seperti sedang berceramah kepada penonton.
“Ada isu sensitif saya fikir perlu dibawa ke dalam filem kepada masyarakat. Contohnya dalam filem Nyanyi Sunyi Dalam Rantang, saya mahu mengangkat tema keadilan dan antirasuah dalam sistem pemerintah. Oleh itu, saya memilih empat kes yang dekat dengan marhaen dan beberapa keputusan yang melukakan masyarakat.
“Dalam isu tanah di Indonesia, kerajaan berhak mengambil tanah itu sekiranya dianggap “kepentingan nasional”. Begitu juga isu jagung import yang mana wang itu dibahagikan dalam kalangan polis, parti dan parlimen.
“Tetapi saya tidak mahu filem tentang keadilan ini dilihat seperti sedang berceramah. Bagi saya kita tidak perlu mengajar di dalam filem sebaliknya bangkitkan dahulu rasa emosi dan empati. Hal ini kerana apa yang lebih penting ialah penonton perlu rasa mereka sebahagian daripada isu yang mahu kita bawakan,” katanya.
Garin ditemui semasa program Bicara Filem Nyanyi Sunyi Dalam Rantang di Kuala Lumpur Film School, semalam.
Sesi tersebut turut dihadiri pengarah, U-Wei Haji Shaari sebagai moderator serta 50 orang pengunjung terdiri daripada pengarah dan peminat filem tempatan.
Dalam perkongsian tersebut, Garin turut berkongsi seni kepengarahannya lebih cenderung memilih imej dan pendekatan bersifat puitis. Oleh itu, walaupun filemnya membawa isu besar, masih diterima baik oleh penonton.
“Saya banyak mendapat respons bahawa filem-filem saya sangat puitis. Bagi saya terjadi sangat natural, sebahagian daripada karakter saya. Hampir kesemua filem saya walaupun temanya besar, tidak ‘berteriak’ sebaliknya membuat penonton berasa bebas tanpa menghakimi, menekan atau memaksa.
“Paling penting ialah kita perlu faham bahawa filem adalah pengalaman. Jadi, perlu ada peristiwa yang dialami oleh sesebuah karakter. Kita bercerita pengalaman yang dilalui oleh seorang karakter termasuk perasaannya.
“Selain itu, perlu ada artifak, yakni barang yang turut membantu menguatkan naratif cerita. Contohnya telur atau rantang (mangkuk tingkat) yang selalu dipakai petani atau ketika melawat orang di hospital. Perkara tersebut simbolik kepada harapan dan upaya untuk terus hidup,” ceritanya.
Filem Nyanyi Sunyi Dalam Rantang mengisahkan Puspa, seorang peguam muda yang diamanahkan membela nasib orang miskin. Walau bagaimanapun, Puspa berkali-kali gagal memenangi kes ketika berhujah di mahkamah.
Filem ini pertama kali ditayangkan di Indonesia pada 9 Mei lalu.