Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAmpang – Pameran Mini “Tanjak Warisan Jemala” yang bertempat di Muzium HARTA, HARTA Space, telah menarik minat orang ramai datang melihat dan menimba ilmu.
Tanjak yang dipamerkan telah dikaji dan diperkatakan oleh penyelidik seni warisan dan pengrajin tanjak, iaitu Mustaqim Marzuki manakala Dr. Nazirul Hazim A. Khalim dari Universiti Monash Malaysia bertindak sebagai kurator.
Menurut Mustaqim, tanjak warisan yang dipamerkan berasal dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan merupakan satu daripada bukti estetika khazanah warisan yang amat tinggi nilainya.
Beberapa jenis tanjak warisan yang dipamerkan merupakan sebahagiannya diperbuat daripada kain tenunan tempatan yang dipilih khas dari negeri Terengganu. Tanjak tersebut memaparkan keindahan pelbagai bunga songket tempatan yang diletakkan pada setiap reka bentuk tanjak.
Seterusnya dalam Siri Bicara Seni Kosmopolitan Nusantara; Destar, Tanjak dan Tengkolok di Alam Melayu telah disampaikan oleh Dr. Nazirul Hazim.

Beliau yang mendapat bimbingan Dr. Johan Iskandar daripada Pertubuhan Seni Alam Melayu (PERNILAM) dalam seni pembuatan tanjak telah berkongsi beberapa perkara menarik, antaranya aspek sejarah, perbezaan gaya solekan mengikut negeri, adab dan adat pemakaian, falsafah serta fungsi tanjak, destar dan tengkolok.
Sebagai contoh, pakaian kepala merupakan sebahagian daripada busana warisan yang menggambarkan kebestarian seni pembuatan, takah sosial dan pengenalan jati diri.
Pakaian tersebut turut berfungsi sebagai hadiah diplomatik, penanda jawatan dan kedudukan malah sebagai unsur tersirat menolak sebarang bentuk penjajahan. Sebagai busana warisan Alam Melayu, tanjak telah dipakai oleh semua golongan masyarakat.
Selain itu, turut diadakan pada hari yang sama ialah bengkel mengarang tanja. Acara-acara seperti ini diharapkan agar berterusan terutama dalam kalangan generasi muda bagi mengukuhkan kembali akar tradisi, memperkenalkan mereka dengan kearifan tempatan para leluhur serta melestarikan bentuk seni warisan dalam cabaran zaman kontemporari.
