Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Kebangsaan 2025 menjadi wadah penting bagi murid SJKC untuk mendekati bahasa, sastera dan budaya selain menonjolkan kemenjadian murid yang begitu membanggakan.
Demikian menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh ketika merasmikan majlis penutupan program tersebut di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur petang tadi.
Beliau yang begitu teruja melihat kebolehan dan keberanian murid SJKC tampil membuat persembahan di pentas berkata, kehebatan murid ini perlu dipaparkan, seterusnya disebarluaskan kepada masyarakat luar kerana kehebatan mereka merupakan kebanggaan semua.

Tambah beliau, kebolehan menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan dan tatabahasa yang begitu tepat dan jitu menunjukkan kehebatan murid SJKC yang harus dibanggakan dan tidak boleh dipertikaikan.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program tersebut, khususnya murid SJKC yang menunjukkan bakat yang sangat luar biasa.
Katanya, DBP sentiasa membuka ruang kepada semua pihak untuk mengadakan program yang bertujuan menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul, sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan negara.
Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC pada kali ini memasuki tahun ketujuh penganjurannya dengan kali pertama pertandingan diadakan pada tahun 2016.

Program ini merupakan kerjasama DBP menerusi Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.
Pertandingan pada tahun ini memberikan ruang kepada peserta untuk mencipta kisah baharu berteraskan tokoh mitologi Nezha.
Melalui watak yang cukup popular ini, murid bukan sahaja menampilkan kreativiti, tetapi juga menyemai nilai sejagat seperti kekeluargaan, kasih sayang dan persahabatan.

Daripada 16 pasukan yang bertanding, SJKC Kuen Cheng 2 telah memenangi Anugerah Citra Cemerlang, manakala hadiah lain dimenangi oleh SJKC On Pong (Anugerah Citra Kasih Juri), SJKC Kampung Baru Ampang (Anugerah Citra Semangat Berpasukan), SJKC Wangsa Maju (Anugerah Citra Cakna Kreatif), SJKC Tshing Nian (Anugerah Citra Harapan) dan SJKC Batu 11 Cheras (Anugerah Citra Semarak Seni).
Tetamu kehormat yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Mohd Radzi Omar; Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN), YBhg. Tan Sri Datuk Hajah Norliza Rofli; Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato’ Goh Hin San dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Puan Aninah Anak Janang.