Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorgetown – Walaupun sudah 52 tahun Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee meninggalkan kita, karyanya masih digali untuk mendapatkan makna serta sudut pandang baharu.
Beberapa dapatan yang segar diperolehi daripada Seminar P. Ramlee: Ikon Kebangsaan dan Antarabangsa sempena sambutan ulang tahun kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang ke-96 dan Hari Seniman Negara 2025.
Seminar anjuran Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang telah berlangsung pada 19 dan 20 September 2025 di Auditorium Murad Mohd. Noor, Universiti Sains Malaysia.
Menurut Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd. Yussof Latiff, program ini menjadi wadah untuk mengenang jasa Seniman Agung, mengangkat warisannya serta memperkukuhkan kedudukannya sebagai Ikon Seni Kebangsaan dan Antarabangsa yang terus dihormati dan dihargai seluruh dunia.
Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah yang merupakan Penasihat Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak dan juga seorang penyair tersohor membincangkan tajuk Filem Anakku Sazali Sebagai Jendela Pendidikan yang dibicarakan dari sudut Falsafah Pendidikan Negara. Tuan Haji Ahmad Ramli, Presiden PERSADA Pulau Pinang yang juga terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu puisi telah membicarakan lapisan-lapisan dialog yang lucu tetapi mengandungi perincian besar dalam filem komedi Madu Tiga (1963).
Seterusnya, Hidir Ali Razali yang mewakili Tanahair Films telah berkongsi pembentangannya mengenai Seniman Bujang Lapok (1961). Hidir yang juga dikenali sebagai pengkaji dan sejarawan filem Melayu klasik turut berkongsi mengenai sistem studio serta beberapa dapatan sejarah yang menarik, termasuklah hasrat P. Ramlee untuk mengarah sambungan-sambungan dalam francais Bujang Lapok dengan tajuk Bujang Lapok Naik Ke Bulan dan Bujang Lapok Jumpa Puteri Gunung Ledang.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin yang juga seorang ilmuan seni persembahan tersohor telah memperkatakan tentang filem Masam-masam Manis (1965) serta mengemukakan pandangannya mengenai konsep tragedi Oedipus Rex karya Sophocles yang unsurnya diterapkan dalam filem Ibu Mertuaku (1962).
Filem Ibu Mertuaku pula membincangkan oleh Puan Norjanah Haji Razali dari Sarawak, manakala Prof. Madya Dr. Azeem Fawzan Dato’ Mohd. Farouk Majid membentangkan mengenai nilai-nilai patriotik dalam filem Sarjan Hassan (1958). Filem epik Hang Tuah (1956) dibicarakan oleh professor sejarah yang juga mantan Ahli Parlimen Gerik, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh. Dr. Baharudin Ali Masrom pula membentangkan tajuk P. Ramlee Wali Seni Dunia Melayu.
Pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak, Dr. Haji Saiee Driss memperkatakan mengenai filem Penarik Beca (1955) manakala nilai-nilai kemasyarakatan dalam Nujum Pak Belalang (1959) dibincangkan oleh Haji Abdul Rahman Bahari selaku Presiden Kelab Peminat Seniman Agung Negeri Perlis.
Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz selaku Presiden Karyawan Pulau Pinang telah membentangkan dapatannya mengenai kritikan sosial dan mahkamah rimba dalam filem Anak Bapak (1968), manakala soal hakcipta dan pemilikan karya Seniman Agung dikongsi oleh Datuk Seri Zaienal Abidin yang merupakan mantan pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia. Filem Tiga Abdul (1964), Semerah Padi (1956), Musang Berjanggut (1959) dan Antara Dua Darjat (1962) dibicarakan oleh ahli-ahli panel dari Brunei Darussalam, iaitu YM Radin Mas Ismail bin Pehin Orang Kaya Udana Laila Dato’ Setia Awang Abdullah dan Awang Abu Bakar bin Lani.
Dr Nazirul Hazim A. Khalim dari Universiti Monash Malaysia pula membahagikan pembentangannya kepada tiga bahagian, iaitu analisis filem Ahmad Albab (1968), P. Ramlee dalam era digital yang merangkumi perangkaan capaian khalayak terhadap karya-karya P. Ramlee di pelantar digital,serta gambar terkini adibusana yang dikenakan oleh P. Ramlee semasa menerima darjah Ahli Mangku Negara.

Penulis sendiri turut terlibat dalam pembentangan dan telah menyampaikan dapatan mengenai unsur kolonialisme dalam filem Labu dan Labi (1962). Turut dikongsi bersama khalayak ialah beberapa buah filem antarabangsa yang mempengaruhi proses kreatif P. Ramlee, seperti Sanshiro Sugata arahan Akira Kurosawa (1943) dan Tea House of The August Moon (Daniel Mann, 1956), selaras dengan objektif seminar untuk memperkukuhkan kedudukan P. Ramlee sebagai ikon antarabangsa.
Pihak “tuan rumah”, iaitu Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd. Yusoff Latiff turut membentangkan makalah yang bertajuk ‘P. Ramlee: Insan Permata Seni Yang Genius’ dan perkongsiannya mengenai hijrah P. Ramlee dari Pulau Pinang ke Singapura serta pembicaraan mengenai filem Pendekar Bujang Lapok (1959).

Selain daripada seminar pemikiran yang berlangsung selama dua hari, sambutan Festival P. Ramlee sempena Hari Seniman Negara turut dimeriahkan dengan acara-acara seperti Ratu Kebaya, pertandingan nyanyian dan sayembara deklamasi puisi bertemakan Seniman Agung.
Sebagai kemuncak acara, satu majlis makan malam telah diadakan di Hotel The Light, Seberang Jaya yang mana majlis ini dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib bersama isterinya, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan kesenian daripada ahli-ahli kelab peminat P. Ramlee terutamanya daripada Pulau Pinang, Perlis, Sarawak dan Brunei Darussalam.