Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Devanthiran Letchumanan dan Rashid Ating
Deepavali atau Pesta Cahaya, merupakan satu daripada perayaan utama yang disambut oleh masyarakat India di Malaysia dan negara- negara lain. Perkataan “Deepavali” berasal daripada dua perkataan Sanskrit, iaitu dīpa yang membawa maksud “lampu” atau “cahaya”, manakala āvali bermaksud “barisan” atau “susunan”. Maka, penggabungan dua suku kata tersebut, Deepavali membawa maksud secara harfiah ialah “barisan lampu.”
Asal usul Tradisi Perayaan Deepavali
Deepavali mula berkembang di benua India sebagai hasil gabungan beberapa tradisi purba dan kisah mitologi Hindu. Dalam teks Purana purba seperti Padma Purana dan Skanda Purana, terdapat rujukan kepada upacara memancarkan lampu dan pembersihan rumah sebagai satu simbol pencerahan dan pembaharuan diri.
Kisah-kisah Mitologi
Terdapat pelbagai versi legenda berkenaan mengapa Deepavali disambut dan diraikan oleh penganut beragama Hindu. Berikut merupakan antara versi yang terkenal:
Walaupun terdapat beberapa versi yang berlainan, kesemua versi ini mempunyai satu persamaan yang ketara, iaitu unsur “keterangkuman dan kemenangan kebaikan menentang kejahatan”
Bagaimana Deepavali Disambut
Persiapan Awal
Beberapa hari sebelum perayaan Deepavali, kebiasaanya rumah akan dibersihkan secara menyeluruh, dicat semula jika perlu dan dihias indah. Perbuatan ini dianggap sebagai satu simbol membersihkan diri dan rumah daripada unsur-unsur negatif yang membawa maksud satu permulaan yang baik.
Setelah itu, corak rangoli ( kolam) lukisan berwarna-warni dibuat di ruang depan rumah atau ambang pintu dengan menggunakan serbuk berwarna, iaitu beras yang diwarna, ataupun menggunakan serbuk beras. Perkara tersebut dianggap sebagai tanda menyambut dewi kekayaan, Lakshmi.
Hari Perayaan
Pagi Deepavali, mereka akan melakukan mandi minyak dengan menggunakan herba-herba tradisional (seperti shikakai, neem, tulasi, vettiver, nillavembu) bagi tujuan menyucikan badan, menyegarkan diri dan membuang unsur negatif sebelum memulakan upacara.
Selepas itu, mereka memakai pakaian tradisional dan mempersembahkan doa kepada para dewa seperti Lakshmi dan Ganesha, sambil berharap agar keberkatan, kekayaan dan kesejahteraan dikurniakan untuk tahun-tahun yang akan mendatang.
Apabila malam menjelang, lampu minyak (diyas), lilin, dan pelita akan dinyalakan di dalam dan luar rumah agar semuanya bercahaya. Jalan-jalan turut dihias dengan lampu. Selain itu, di sesetengah tempat seperti di bandar-bandar besar, mercun atau api bunga dinyalakan sebagai simbol satu perayaan dan menangkis semangat-semangat jahat.
Setelah selesai upacara, kaum keluarga akan duduk bersama, sambil menikmati jamuan dan berkongsi manisan serta kuih-muih khas.
Makanan dan Manisan yang Disajikan
Satu daripada aspek utama yang menjadi kewajipan dalam mana-mana sambutan perayaan, termasuk Deepavali sendiri ialah penyediaan makanan dan manisan tradisional yang istimewa. Berikut merupakan sajian-sajian yang biasa dihidangkan:
Kesemua makanan-makanan ini dibuat berasaskan bahan-bahan tradisional seperti tepung, kacang, gula, lemak tenusu (ghee) dan sedikit campuran rempah ratus. Hasilnya, ia akan membawa haruman aroma dan sekaligus mengekalkan elemen-elemen warisan dalam makanan tersebut.
Di Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuk dan berbilang kaum, hidangan-hidangan tersebut akan dikongsi dengan jiran-jiran dan sahabat-handai sebagai hidangan utama sewaktu meraikan kedatangan tetamu ke rumah.
Cara Sambutan Deepavali: Malaysia dan Singapura
Malaysia
Di Malaysia, Deepavali merupakan hari cuti umum di kebanyakan negeri kecuali di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana bilangan komuniti India di kedua-dua negeri tersebut agak kecil. Namun begitu, mereka yang tinggal di kedua-dua negeri ini dibenarkan dan diberi kelonggaran untuk pulang awal dari kerja bagi memberi mereka masa untuk membuat persediaan menyambut perayaan ini.
Perbezaan utama ialah penggunaan mercun yang dikurangkan atau dilarang di Malaysia atas beberapa sebab yang tertentu. Oleh itu, penggunaan hiasan cahaya seperti lampu dan diyas menggantikan elemen mercun bagi mengekalkan suasana meriah. Selain itu juga, pengunaan dron juga turut mencuri tumpuan, dengan dron diluncurkan, mengeluarkan cahaya pada waktu malam yang akan membuat pertunjukan dengan membentuk simbol-simbol tertentu seperti pelita, kolam atau perkataan yang menggambarkan Deepavali.
Komuniti Hindu di Malaysia kebiasaanya akan menganjurkan aktiviti rumah terbuka dan mengundang jiran-jiran dari pelbagai kaum untuk mengunjungi dan bersama-sama menikmati jamuan menikmati jamuan yang disediakan oleh tuan rumah. Hal ini mengeratkan silaturahim di antara semua golong masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pusat-pusat perniagaan di beberapa kawasan terutamanya seperti Little India Brickfields di Kuala Lumpur akan dihias dengan lampu-lampu yang bergemerlapan, menjual pakaian dan persalinan, barangan perayaan berserta dengan potongan harga seminggu sebelum perayaan Deepavali disambut.
Singapura
Di Singapura, sama seperti di Malaysia, perayaan Deepavali juga diiktiraf sebagai cuti umum. Little India di Singapura menjadi pusat perayaan utama: bazar menjual pakaian didirikan, jualan, lampu-lampu jalan dihias dengan hiasan khusus sepanjang musim Deepavali.
Kerajaan dan agensi kebudayaan turut menganjurkan program-program dan aktiviti terbuka untuk orang ramai menikmati keindahan budaya India dan suasana perayaan.
Deepavali di Pelbagai Pelusuk Dunia: Persamaan & Perbezaan
Persamaan
Perbezaan
Kesimpulan
Deepavali bukanlah sekadar satu perayaan agama, tetapi merupakan sebuah lambang harapan, cahaya, dan kebersamaan. Dari rumah-rumah di India sehinggalah ke lorong-lorong Little India, Brickfields di Kuala Lumpur atau Singapura, aura cahaya dan kehangatan dikongsi bersama semua lapisan masyarakat.
Meskipun terdapat beberapa versi yang berbeza dalam amalan dan kepercayaan, seperti penggunaan mercun atau bilangan hari sambutan. Namun, nilai-nilai utama dalam perayaan ini iaitu kemenangan cahaya terhadap kegelapan, kebaikan terhadap kejahatan, dan pembaharuan diri tetap disemai dalam setiap jiwa penganut Hindu yang merayakan Deepavali.