Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pameran pesona flora pertama di Malaysia, Mistikal Titiwangsa, menggamit pengunjung yang hadir ke Tasik Titiwangsa dengan menampilkan keindahan flora hiasan yang berpadu harmoni dengan kisah dongeng rakyat tempatan.
Pameran ini menjadi antara tarikan utama Festival Taman Kuala Lumpur 2025, sebuah acara dwitahunan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung dari 17 – 26 Oktober 2025.
Festival ini menekankan peranan taman sebagai peparu hijau bandar raya, memperkaya kehidupan urban, serta memperkukuh semangat kelestarian alam sekitar.
Mistikal Titiwangsa membawa pendekatan baharu dalam penghayatan alam dan budaya dengan menggabungkan keindahan tumbuhan hiasan, seni reka ruang serta unsur deria manusia dalam suatu pengalaman yang memikat.
Pameran ini menampilkan 12 hentian bertema, masing-masing membawa kisah dan nilai tersendiri yang diinspirasikan daripada legenda dan mitos tempatan.
Perjalanan bermula di hentian Daulat dan Wira yang menonjolkan arca tengkolok dan keris sebagai lambang keagungan warisan Melayu di pintu utama khemah pameran.

Pengunjung seterusnya dibawa menelusuri hentian Nadi, Merah Putih, Batu, Ulek Mayang, Mahsuri, Taji, Badang, Li Po, Santubong, Ledang, dan akhirnya ke Laluan Refleksi yang mengajak manusia merenung kembali hubungan halus antara alam, budaya dan identiti bangsa.
Lebih menarik lagi, Mistikal Titiwangsa turut merangsang pancaindera pengunjung melalui elemen bau, bunyi dan rasa.
Deria bau dihidupkan dengan aroma alam semula jadi seperti bau padi, jerami, tanah serta tumbuhan hijau, manakala deria rasa diserikan dengan minuman herba segar hasil gabungan tumbuhan tempatan yang menzahirkan keseimbangan rasa dan kesegaran tropika.
Pendekatan ini menjadikan Mistikal Titiwangsa bukan sekadar pameran flora, malah perjalanan pengalaman dan penghayatan budaya yang menggabungkan alam, cerita rakyat serta seni tempatan dalam satu landskap yang mempesona.
Penganjuran festival ini bertujuan untuk mengajak warga kota menilai semula peranan taman sebagai ruang kehidupan dan warisan bersama.

Melalui Mistikal Titiwangsa, masyarakat bukan sahaja diajak meraikan keindahan flora dan kisah rakyat, malah diingatkan bahawa kelestarian alam dan kebudayaan bangsa saling berkaitan rapat dan wajar dipelihara bersama.
Dengan penyertaan pelbagai agensi, pereka landskap dan komuniti kreatif tempatan, Mistikal Titiwangsa menyerlah sebagai manifestasi seni dan alam yang berpadu indah serta membangkitkan semula semangat cerita rakyat dalam panorama taman kontemporari Malaysia.