Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Simposium Muzik Ipoh kembali lagi pada tahun 2025 dengan bertemakan Nasyid – dari Tradisional ke Kontemporari.
Pelbagai aktiviti telah diadakan selama tiga hari itu. Antaranya termasuklah pameran evolusi nasyid, simposium, forum dan konsert. Ucaptama simposium itu telah disampaikan oleh Prof. Dr. Bart Barendregt, profesor digital diversiti antropologi dari Universiti Leiden, Belanda. Selain ucaptama, simposium turut diserikan dengan sesi pembentangan oleh beberapa tokoh akademik dan pengkaji muzik nasyid dari Malaysia dan Indonesia.
Dalam sesi kedua dan ketiga yang bertemakan Evolusi Nasyid, Politik dan Isu Sosial, beberapa pembentang telah tampil membentangkan hasil kajian dan dapatan mereka. Antaranya Dr. Nadia Widyawati Madzhi dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menampilkan pembentangan tentang muzik kumpulan Mohram di Malaysia. Dr. Abdul Wahid Abdul Halim, seorang pengkaji dan pendiri Pentas Aksi membentangkan perkembangan muzik rock dalam nasyid melalui kemunculan kumpulan al-Farabi.
Sesi ketiga diteruskan oleh ahli panel, iaitu Ts. Nur Nafishah Azmi dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM, Ts. Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Sekolah Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Kolej Seni dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga ahli kumpulan nasyid, UNIC dan Encik Amir Hamzah Akal Ali yang lebih dikenali sebagai Benz Ali, penulis, pengkaji dan usahawan buku.

Ts. Nur Nafishah membentangkan kajian beliau tentang penggunaan simbol wanita lirik nasyid, manakala Dr. Fitri membentangkan kajian beliau tentang analisis etnomuzikologi dalam berzanji. Benz Ali pula membentangkan ideologi dalam nasyid.
Simposium itu dimeriahkan lagi pada malam 25 Oktober 2025 dengan persembahan konsert nasyid yang dipersembahkan oleh kumpulan dan penyanyi nasyid tanah air seperti kumpulan UNIC, Raihan, Hijjaz, Zizi Kirana dan Lah Ahmad.
Simposium tersebut dianjurkan oleh People of Remarkable Talent (PORT) Ipoh dengan kerjasama oleh beberapa agensi seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kerajaan Negeri Perak dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara.