Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangUbud – Pengarah filem Samsara, Garin Nugroho menganggap naskhah bisu hitam putih arahannya itu sebagai kenakalan artistik bagi melawan dunia serba digital masa kini.
Menurut Garin, Samsara diilhamkan daripada unsur wayang kulit tradisional serta filem klasik Jerman, Nosferatu (1922), bagi menonjolkan sisi eksperimental dan nostalgia sinema awal.
“Ketika semua orang sibuk berbicara tentang dunia digital, saya mahu membawa penonton kembali kepada keakraban masa lalu.
“Kita semua pasti merindui kenakalan zaman dahulu. Untuk menghasilkan filem bisu hitam putih memang sukar meyakinkan pelabur, tetapi bagi saya, seorang sutradara mesti berani nakal. Kalau tidak nakal, lebih baik jangan jadi sutradara,” katanya sambil ketawa.
Garin ditemui selepas sesi tayangan Samsara sempena Festival Penulis dan Pembaca Ubud (UWRF) 2025, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Samsara berlatarkan era 1930-an, iaitu zaman awal kemunculan industri pelancongan di Bali.
“Ketika itu, Bali buat pertama kali menerima kedatangan pelancong akibat gelombang globalisasi. Itulah masa yang paling menarik untuk dirakam dalam bentuk filem,” katanya.
Tambahnya, Bali tetap istimewa kerana sarat dengan unsur mistik dan spiritual yang masih kuat berakar dalam budaya masyarakat setempat.
“Magis realisme di Bali sangat kuat kerana lahir daripada mitos. Cerita tentang ritual persugihan, iaitu usaha mencari kekayaan secara mistik ada di mana-mana di Indonesia, malah hingga kini masih berlaku di beberapa daerah,” jelasnya.
Mengambil inspirasi daripada seni tradisional wayang kulit, Garin turut memperkenalkan konsep “cine-concert”, iaitu tayangan filem diiringi persembahan muzik secara langsung.
“Pendekatan ini bertujuan menghidupkan semula pengalaman menonton wayang kulit, di mana visual dan muzik berpadu secara langsung di hadapan penonton,” ujarnya.
Sebelum ini, Samsara turut dipentaskan di Esplanade Concert Hall, Singapura, pada 10 Mei 2024, dengan iringan muzik gamelan secara langsung.
Filem ini juga membolot empat anugerah Piala Citra Festival Filem Indonesia 2024 bagi kategori Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Reka Kostum Terbaik.