Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penulis buku P. Ramlee: Kisah Tanpa Noktah, Akmal Abdullah, meluahkan rasa lega apabila karyanya berjaya diterbitkan walaupun berdepan kekangan kewangan di peringkat awal penulisan.
Akmal, yang juga bekas Pengarang Hiburan Berita Harian (BH), berkata beliau mengambil masa 10 bulan untuk menyiapkan naskhah berkenaan, sebelum ST Rosyam Mart Sdn Bhd bersetuju menjadi penaja utama.
“Ini adalah buku kelima saya mengenai tokoh dunia perfileman. Sebelum ini saya menulis tentang Datuk Yusof Haslam, Datuk Mustapha Maarof, selain menghasilkan buku mengenai belakang tabir filem Merong Mahawangsa serta Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG).
“Empat buku terdahulu diterbitkan FINAS. Namun selepas saya tidak lagi bekerja di BH, agak sukar untuk mendapatkan sokongan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Buku P. Ramlee: Kisah Tanpa Noktah di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Menurut Akmal, adakalanya beliau patah semangat, namun rakan-rakan industri banyak memberikan dorongan meneruskan perjuangan menyiapkan karya tersebut.
“Tapi saya mendapat sokongan rakan-rakan, termasuk bekas wartawan Harian Metro, Adam Salleh, yang banyak menasihati saya supaya bertenang dan bersabar.
“Ketika separuh jalan menulis, saya mulai patah semangat dan berhenti seketika. Saya mengadu kepada Datuk Yusof Haslam, dan beliau nasihatkan supaya jangan berhenti. Teruskan perjuangan hingga siap. Itu yang membuatkan saya bangkit semula,” ujarnya.
Majlis peluncuran tersebut disempurnakan oleh bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Datuk Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Turut hadir ialah Datuk Rosnani Jamil, Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor, Datuk Khadijah Ibrahim, A. Galak dan ramai lagi.
Mengulas proses penghasilan buku, Akmal berkata beliau menggunakan pengalaman luas sebagai wartawan untuk mendekati artis veteran bagi mengumpulkan kisah-kisah sebenar mengenai seniman agung itu.
“Bukan suka-suka saya hasilkan buku ini. Saya berpeluang bergaul rapat dengan ramai pelakon veteran yang pernah bekerjasama dengan P. Ramlee. Mereka berkongsi banyak kisah belakang tabir yang cukup bernilai.
“Saya harap masyarakat dapat membaca buku ini dan memahami sisi lain perjuangan beliau,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, menyifatkan usaha Akmal sebagai satu sumbangan penting dalam mendokumentasikan sejarah seni tanah air.
“Dalam perjalanan seninya, P. Ramlee menghadapi pelbagai cabaran. Saya dimaklumkan beliau pernah dikutuk, namun kritikan tidak pernah mematahkan semangatnya. Itulah perjuangannya ada pahit dan manis.
“Generasi hari ini ramai yang tidak mengenali P. Ramlee secara mendalam. Dengan adanya buku ini, mereka boleh memahami jatuh bangun beliau dalam industri,” katanya.
Yusof turut berkongsi kenangan awal kariernya yang pernah muncul sebagai ‘pak pacak’ dalam sebuah filem P. Ramlee dengan bayaran RM4.
“Saya bersyukur walaupun hanya jadi pak pacak. Saya percaya walaupun beliau sudah tiada, jasa dan sumbangannya tetap diingati,” katanya.
Buku P. Ramlee: Kisah Tanpa Noktah dijual pada harga promosi RM69 dan memuatkan 851 gambar berwarna. Beberapa syarikat produksi, termasuk Skop Productions Sdn Bhd, Metrowealth International Group (MIG), Sheunik Sdn Bhd, selain FINAS dan Yayasan Budi turut menaja penghasilan buku berkenaan.