Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan inovasi memainkan peranan penting bagi memastikan budaya membaca berkembang seiring dengan perubahan teknologi.
Penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dapat membentuk gaya hidup membaca yang kritis, inovatif dan berkesan, di samping meningkatkan keupayaan mahasiswa untuk mengakses, menilai dan mengaplikasikan maklumat secara bijak.
Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan, malah melahirkan modal insan berpengetahuan secara berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan Forum Membaca bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan dengan tema “Membaca sebagai Teras Kepimpinan Intelektual Mahasiswa” di Dewan Kolej Seroja, UiTM, di sini, pagi tadi.
Ahli panel yang diundang ialah YBrs. Ts. Tuan Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam; YBrs. Puan Nurqueen Sayang Dinnie binti Wirakarnaian, Jurutera Perisian, PETRONAS juga seorang pempengaruh; dan YBrs. Encik Mohammad Hafiz bin Abdul Latiff, Presiden Persatuan Booktube Malaysia, serta dikendalikan oleh Encik Saifullizan bin Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP sebagai pemudah cara.
Menurut YBrs. Ts. Tuan Haji Azizi bin Haji Jantan, tabiat membaca generasi muda yang kini dilihat semakin berkurang akibat perkembangan teknologi bukanlah suatu masalah yang menyukarkan bagi melahirkan kepimpinan intelektual.
“Dengan zaman teknologi yang lebih memudahkan, sepatutnya kita melihat cara generasi dahulu belajar, dan diharapkan apabila lebih maju teknologi itu, lebih ampuh kekuatan dalaman kita untuk masa hadapan,” katanya.

Dalam hal ini, beliau memetik ucapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang melihat pendeta Zaaba dan Syed Naquib Al-Atas sebagai tokoh intelektual dan cendekiawan yang lahir tanpa perkembangan teknologi seperti sekarang.
Bagi beliau, kedua-duanya bentuk bacaan sama ada secara tradisional ataupun digital dapat diterima sebagai bentuk bacaan yang bergerak seiring dengan usia.
“Manusia tidak akan selama-lamanya bertahan dengan pancaindera yang diberikan kepada mereka, tiba suatu masa, cabaran usia akan menyebabkan manusia kalah terhadap skrin,” katanya.
Bagi Puan Nurqueen Sayang Dinnie binti Wirakarnaian yang mewakili generasi Z pula, beliau mengakui bahawa pelajar sekarang kurang ke perpustakaan kerana teknologi kini telah berubah dan mereka lebih percaya kepada teknologi maklumat seperti Google dan ChatGPT.
“Akan tetapi di Internet terlalu banyak maklumat yang dikongsikan sama ada sahih ataupun tidak sahih, oleh itu perpustakaan perlu sebagai tempat untuk mendapatkan bahan bacaan yang lebih tepat, mendalam dan sahih,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa teknologi masa ini terutamanya AI menjadi suatu potensi besar pada masa akan datang yang akan mengubah cara pandang generasi kini.
“Namun begitu, gunakan AI sebagai hanya sebagai panduan untuk memudahkan kita mencari maklumat, bukan untuk mendapatkan jawapan yang tepat bagi melakukan sesuatu tugasan,” nasihat beliau kepada generasi muda.
Sementara itu, bagi Encik Mohammad Hafiz bin Abdul Latiff, Presiden Persatuan Booktube Malaysia, beliau melihat tabiat membaca generasi sekarang banyak dipengaruhi oleh media sosial.
Contohnya, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), kebanyakan pengunjung datang kerana ingin membeli buku yang dipromosikan melalui aplikasi TikTok.

Bagi beliau, membaca bukan hanya difahami sebagai membaca buku, malah melalui pembacaan dan pendengaran dalam media sosial seperti Facebook dan buku audio.
Berkenaan dengan teknologi AI, beliau berkata AI ialah alat bantu yang mempercepat proses penulisan, tetapi seseorang penulis harus peka terhadap keaslian karya yang dihasilkan.

Terdahulu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dalam ucapan perasmiannya yang dibacakan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun binti Mustafa, menegaskan bahawa membaca bukan sekadar aktiviti akademik, malah amalan yang membentuk karakter, moral dan kepimpinan sejati.
“Kita perlu sedar bahawa membaca ialah asas kepada kepimpinan intelektual. Seorang pemimpin yang berilmu lahir daripada budaya membaca yang konsisten.
“Membaca memberi kita perspektif yang luas, membolehkan kita memahami cabaran global, menghargai kepelbagaian idea dan menjadi agen perubahan yang berwawasan,” katanya.
Melalui pelaksanaan DMK, beliau berharap budaya membaca dapat diterapkan bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah merentas semua lapisan masyarakat, agar ilmu menjadi asas kepada pembangunan negara yang berteras kan kepintaran dan inovasi.

Turut hadir ialah YBrs. Ts. Tuan Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM; YBrs. Puan Aznur Umiza binti Abu Kasim @ Abu Kassim, Ketua Timbalan Pustakawan UiTM dan YBrs. Encik Salim bin Md Zin, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, DBP.