Diterbitkan pada 24 Januari 2026, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Teater Putera Gunung Tahan, karya Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (ANM) berjaya menonjolkan nilai murni masyarakat Melayu seperti kebijaksanaan, keberanian dan harga diri melalui jalan cerita yang sarat dengan unsur satira serta sindiran sosial terhadap keangkuhan penjajah Barat.

Teater ini mengisahkan Raja Bongsu, Putera Gunung Tahan dan Perempuan Tua yang memiliki semangat nasionalisme dan cinta yang mendalam terhadap tanah air. Kisah bermula apabila penjajah British, Robert dan William dihantar oleh kerajaannya untuk meninjau keadaan di puncak Gunung Tahan, namun perpecahan antara mereka membawa nasib malang apabila Robert diculik oleh sekumpulan Orang Sakai.

Menurut pelakon watak utama (Putera Gunung Tahan), Muhammad Irshad Azian menyatakan bahawa beliau berasa teruja dan berbesar hati kerana diberikan peluang menjiwai watak Putera Gunung Tahan yang membawa semangat nasionalisme terhadap negara.

Tambahnya, peluang ini juga membolehkan beliau menonjolkan kebolehan berlakon serta memahami nilai tradisi dan budaya Melayu yang tersurat dalam cerita tersebut.

“Watak ini memperjuangkan tanah air, maruah, dan martabat bangsa daripada dikuasai  atau dirampas oleh penjajah British.

Muhammad Irshad Azian turut berkongsi cabaran dirinya dalam memegang watak tersebut serta menyesuaikan diri semasa melakonkan aksi dan mendalami emosi watak.

“Antara cabaran saya dalam memainkan watak sebagai Putera Gunung Tahan adalah untuk memastikan pergerakan saya konsisten di atas pentas serta menonjolkan ekspresi wajah dan gerak tangan yang tepat untuk menghidupkan watak tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Amaa Nabihah Noor Azman memainkan watak sebagai (Perempuan Tua) pula menyatakan bahawa watak ini digambarkan sebagai seorang yang bijak, selain berperanan dalam memberikan panduan dan sokongan kepada watak-watak lain dalam pementasan cerita.

“Pengalaman yang penuh dramatik ini bukan sahaja mencabar dari segi lakonan, malah turut memberikan peluang kepada saya untuk mengasah kemahiran dramatik, selain menghargai keunikan watak tradisional Melayu yang sarat dengan nilai moral dan kebijaksanaan,” ujarnya.

Pementasan Teater Putera Gunung Tahan dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2026 hingga 24 Januari 2026 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi