Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seiring perkembangan pesat teknologi digital, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) telah memperkenalkan garis panduan mengenai Kecerdasan Buatan (AI) yang dikenali sebagai Garis Panduan AI MACP, bagi mengukuhkan perlindungan hak cipta dalam kalangan pengkarya muzik tempatan.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak MACP hari ini, mereka menegaskan bahawa hanya karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh pengkarya sahaja layak untuk didaftarkan dan menerima pembayaran royalti di bawah pengurusan MACP.
Menurut MACP, hak cipta merupakan hak eksklusif yang terhasil daripada daya cipta serta usaha intelektual individu. Sehubungan itu, karya yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya dengan menggunakan teknologi AI tidak akan diiktiraf untuk tujuan pendaftaran dan pengagihan royalti.
Langkah tersebut dilihat sebagai pendekatan proaktif bagi memastikan kepentingan industri muzik tempatan terus terpelihara dalam era digital.
Perkara ini selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI yang sedang diusahakan bagi tujuan untuk mewujudkan akauntabiliti serta memastikan undang-undang sedia ada terus terpakai.
MACP menyambut baik inisiatif kerajaan dan menyatakan kesediaan mereka untuk terlibat dalam sesi libat urus, khususnya dalam aspek perlindungan hak cipta karya muzik.
Berdasarkan kenyataan media MACP, YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa di bawah Akta Hak Cipta 1987, perlindungan hanya diberikan kepada karya yang dihasilkan oleh individu berkelayakan dan juga mereka yang menunjukkan usaha mencukupi sahaja.
Selain itu, pihak KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut meneliti keperluan untuk mengemas kini peruntukan undang-undang sedia ada agar selari dengan perubahan teknologi.
Bagi melaksanakan garis panduan ini, MACP memperkenalkan mekanisme pengesahan mandatori menerusi portal ahli ‘myKarya’, bagi mewajibkan karya yang didaftarkan adalah asli dan bukan hasil janaan AI. Sebarang deklarasi palsu boleh mengakibatkan pembatalan pendaftaran serta penahanan pembayaran royalti.
Selain itu, mana-mana pihak termasuk syarikat AI yang ingin menggunakan repertoir muzik di bawah pengurusan MACP bagi tujuan latihan atau penjanaan kandungan perlu mendapatkan persetujuan bertulis dan memasuki perjanjian lesen rasmi. Penggunaan tanpa kebenaran akan dianggap sebagai pencerobohan hak cipta dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sebagai Badan Pengurusan Kolektif (CMO), MACP komited untuk terus melindungi hak dan kepentingan industri muzik negara. Organisasi itu juga merupakan ahli kepada International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC), sekali gus memperkukuh peranannya dalam memperjuangkan hak cipta di peringkat antarabangsa.