Diterbitkan pada 10 Mac 2026, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau — Tradisi bergotong-royong menyediakan bubur lambuk terus disemarakkan oleh warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis sebagai satu daripada pengisian bermakna sepanjang bulan Ramadan.

Program yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan dengan kerjasama Unit Makmal Sains itu menghimpunkan seramai 30 peserta yang berganding bahu menyediakan bubur lambuk di Bengkel Kejuruteraan Agroteknologi, UiTM Cawangan Perlis.

Aktiviti yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu berjaya menghasilkan sebanyak 440 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga kampus dan orang ramai.

Suasana gotong-royong menyediakan bubur lambuk menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.

Bubur lambuk yang siap dimasak kemudiannya diedarkan kepada warga universiti dan orang ramai di Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis sebagai tanda kebersamaan dan perkongsian rezeki dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Menurut pensyarah Kanan Unit Kimia, Mohd Hafiz Yaakob, aktiviti sebegini mencerminkan nilai murni yang amat dituntut dalam Islam, khususnya dalam bulan Ramadan yang menggalakkan umatnya memperbanyak amalan kebajikan.

Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga bulan untuk memperkukuh hubungan sesama manusia. Tradisi gotong-royong seperti ini mengingatkan kita tentang nilai berkongsi rezeki, keikhlasan membantu serta kepentingan memupuk ukhuwah dalam kehidupan bermasyarakat.

Sementara itu, pensyarah Kanan Unit Fizik, Dr Ang Lee Sin, menyifatkan program tersebut sebagai platform yang memperlihatkan semangat muhibah dan keharmonian dalam kalangan warga universiti yang berbilang latar belakang.

Menurut beliau, pelibatan warga kampus daripada pelbagai kaum dalam menjayakan program tersebut membuktikan bahawa aktiviti kemasyarakatan mampu menyatukan komuniti melalui nilai kebersamaan.

Walaupun Ramadan merupakan bulan yang amat bermakna bagi masyarakat Islam, aktiviti seperti ini turut membuka ruang kepada semua warga kampus untuk sama-sama menyumbang tenaga dan berkongsi kegembiraan. Inilah semangat perpaduan dan muhibah yang menjadi kekuatan masyarakat kita.

Program tersebut turut mendapat sokongan warga kampus melalui sumbangan kewangan yang digunakan untuk membeli bahan-bahan masakan.

Usaha bersama ini bukan sahaja menghidupkan tradisi bubur lambuk, malah menjadi medan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga universiti.

Bubur lambuk dikumpulkan untuk diagihkan kepada warga kampus di Kompleks STAR UiTM Cawangan Perlis.
Kredit Foto: Ang Lee Sin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi