Diterbitkan pada 15 Mac 2026, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau Amalan bertamu dan tradisi ziarah pada bulan Ramadan terus disemarakkan apabila sebanyak 30 orang staf Fakulti Sains Gunaan (FSG) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyertai Program Sinar Bakul Aidilfitri 2026 dengan menyantuni 50 keluarga asnaf melalui aktiviti ziarah dan penyerahan sumbangan keperluan rumah.

Program yang dianjurkan bersempena dengan bulan Ramadan ini bertujuan menghidupkan kembali nilai budaya masyarakat Melayu dan Islam yang menitikberatkan amalan ziarah, saling mengambil berat dan membantu golongan yang memerlukan, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Sebelum sesi ziarah dilaksanakan, para peserta terlebih dahulu berkumpul di Bilik Mesyuarat Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis bagi menyediakan bakul sumbangan yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas.

Antara barangan yang disediakan termasuklah beras, gula, sos cili, kicap, minyak masak, kopi, sardin, rempah ratus dan krimer manis yang diharapkan dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga penerima sepanjang Ramadan serta menjelang Syawal.

Selepas sesi penyediaan bakul selesai, para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan kecil sebelum bergerak ke rumah penerima yang telah dikenal pasti.

Setiap kumpulan turut dibantu oleh kru sukarelawan yang berperanan menunjukkan laluan serta membantu melancarkan perjalanan program ke rumah asnaf terpilih di sekitar kawasan berkenaan.

Para peserta program berkumpul dalam kumpulan kecil sebelum bergerak menziarahi rumah asnaf.

Para peserta terlebih dahulu diberikan taklimat mengenai adab berziarah sebelum berkonvoi melawati beberapa kampung terpilih di sekitar negeri Perlis.

Perjalanan tersebut turut menjadi pengalaman bermakna buat para peserta yang kebanyakannya membesar di bandar, apabila mereka berpeluang menyaksikan sendiri suasana kampung yang dikelilingi sawah padi menghijau serta keunikan struktur rumah Melayu lama yang masih terpelihara.

Menurut penyelaras program, YBrs. Dr. Syarifah Nursyimi Azlina Syed Ismaili, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah bertujuan memupuk semula nilai budaya dan tradisi masyarakat yang semakin jarang diamalkan dalam kehidupan moden.

Program ini mengangkat nilai budaya dan tradisi masyarakat kita yang sejak dahulu terkenal dengan amalan bertamu dan ziarah serta budaya berkongsi rezeki,” kata beliau.

Sumbangan ini mungkin kecil, namun tradisi memberi dan budaya saling membantu inilah yang sebenarnyamenjadi warisan masyarakat kita setiap kali menjelang Aidilfitri,” tambah beliau lagi.

Para peserta menyampaikan bakul sumbangan kepada keluarga asnaf sebagai tanda keprihatinan dalam menghidupkan budaya ziarah Ramadan.

Sementara itu, YBrs. Ts Puan Nor Atikah Husna Ahmad Nasir pula berkata amalan ziarah dalam masyarakat Melayu mempunyai nilai budaya yang mendalam kerana amalan ini menghubungkan semula hubungan kekeluargaan dan kejiranan.

Dalam budaya dan tradisi masyarakat kita, Ramadan sering dikaitkan dengan amalan pulang ke kampung, melawat sanak saudara serta menziarahi mereka yang memerlukan. Tradisi ziarah ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi menjadi simbol budaya prihatin dan nilai kemasyarakatan yang telah lama diwarisi,” kata beliau.

Program seperti ini membantu menghidupkan kembali tradisi tersebut agar generasi hari ini terus menghargai budaya ziarah dan semangat saling menyantuni,” tambah beliau lagi.

Budaya ziarah Ramadan buka peluang kepada peserta membaiki kemahiran berinteraksi secara langsung dengan penerima dengan lebih berhemah.

Melalui pendekatan ziarah secara bersemuka, para peserta bukan sahaja dapat menyampaikan sumbangan, malah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan penerima, sekali gus mengeratkan hubungan kemasyarakatan.

Program Sinar Bakul Aidilfitri 2026 dilihat sebagai satuusaha kecil tetapi bermakna dalam memelihara budaya masyarakat yang menekankan nilai empati, keprihatinan dan semangat kebersamaan, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi