Diterbitkan pada 7 April 2026, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ukiran ialah hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Dua faktor yang menjadikannya sedemikian ialah keadaan alam semula jadi yang kaya dengan kayu yang digunakan sebagai bahan binaan, alat, perahu, senjata, dan hiasan.

Kedua: kekayaan tumbuh-tumbuhan yang memberikan ilham kepada pencipta untuk mewujudkan jenis bentuk dan motif ukiran kayu. Keadaan ini dibantu oleh daya cipta yang sihat, kemahiran pertukangan, cita rasa tinggi dan pendukungan berterusan.

Dalam buku Rupa & Jiwa (1992) oleh Syed Ahmad Jamal, tercantum bab berkenaan “Ukiran” yang sangat menarik. Contoh-contoh ukiran dari peralatan dapur, dinding rumah hinggalah ke mimbar masjid dipapar dan dijelaskan. Bagi sesiapa yang belum pernah melihat ukiran kayu Melayu lama secara langsung, gambar-gambar dari buku tersebut sudah pasti mengagumkan.

Seorang pengkaji, iaitu Abdul Halim Nasir yang banyak meneliti tentang binaan dan ukiran, sangat kagum dengan mutu ukiran yang terdapat dalam rumah-rumah Melayu lama. Menurut beliau:

Saya dapati rumah-rumah Melayu terutamanya yang berusia tua, sering terhias dengan ukiranyang sangat menarik dan tinggi mutu kerjanya. Mutu ukiran yang dihasilkan oleh pengukir Melayu itu tiada tolok bandingnya dengan ukiran oleh pengukirdewasa ini.”

Kepandaian pada ketukangan kayu dan ukiran Melayu diperturunkan dari zaman ke zaman, sebagaimana dengan ketukangan dan kerja tangan Melayu lainnya.

Dalam Misa Melayu, sebuah karya yang lahir dari istana Perak, ditulis oleh Raja Chulan pada abad ke-18, pernah menggambarkan istana yang terhias dengan ukiran dan lukisan. Gambaran sebegini, membuatkan penulis membayangkan sekala tukang bina dan tukang ukir yang wujud dalam negeri Melayu pada zaman dahulu.

Setiap masyarakat berasa bangga kalau memiliki para tukang yang halus hasilnya. Di Jawa, Raden Kartini merasa bangga akan kehalusan ukiran dan ketukangan kayu yang dihasilkan oleh tukang kayu di daerahnya, yakni di Jepara. Malah beliau melihat potensi ekonomi dari kerja tangan penduduk Jawa. Beliaulah juga yang membantu memasarkan hasil kerja tangan para pengukir.

Dalam beberapa ungkapan, pengukir harus memastikan bahawa tugasnya dapat membaiki rumah, sebagaimana disebut dalam sebuah ungkapan lama:

“Membetulkan lantai yang terjungkat

Membetulkan dinding yang teretas

Membetulkan tiang yang terpalang

Membetulkan atap yang berjurai

Membetulkan bumbung yang tersenget

Membetulkan tangga yang bergoyang

Membetulkan pagar yang terkopak”

Rumah Melayu yang dibuat daripada kayu memerlukan para tukang yang bukan sahaja tinggi kemahirannya, malah harus berimaginasi untuk menghasilkan karya yang mengikut teras tradisi tetapi menguntumkan ciptaan yang tersendiri.

Masyarakat Melayu terkenal sebagai bangsa yang house-proud, yang sangat menitikberatkan rumah, agar nampak cantik dan selesa. Rumah yang tegap adalah binaan dari tukang rumah yang bagus. Rumah sebagai kediaman keluarga diumpamakan seperti ruang sakral kerana:

Yang rumah mengandung tuah

Tempat maruah dikekalkan

Tempat martabat ditegakkan

Tempat beranak berketurunan

Tempat beradat dan berpusaka

Tempat berlindung kaum kerabat

Tempat berteduh saudara mara

Tempat berlabuh handai taulan

Tempat mengandung pantang larang

Tempat hidup dan tempat mati…”

Dalam ungkapan tentang rumah Melayu, sebagaimana disusun oleh Tenas Effendy, terlantun sebegini:

“Awan Larat berjunjung tinggi

Berangkai bersambung panjang

Panjang tidak ada ujungnya

Kalau genting tidak memutus

Kalau patah idak bercerai

Kalau habis tidakkan punah

 

Lebah Bergantung cucuran atap

Di muka berpagar muda

Di belakang pagar manisan

Manisan cucur ke bilik dalam

Manisnya rasa-merasa

Lojunya hisap-menghisap

 

Berlarik jerajak luar

Bertebuk kisi-kisi dalam 

Tingkap panjang berkilik-kilik

Jerajak luar kendang rumah

Kisi-kisi dalam penyekat malu

                     Kilik-kilik pelapis aib.”                      

 

Awan larat ialah ragam hiasan yang diukur oleh tukang rumah. Menyebut tentang awan larat, Syed Ahmad Jamal beranggapan:

Seniman Melayu mendapat ilham dari alam yang luas, untuk mewujudkan awan larat, iaitu bentuk seperti awan bergerak. Motif ini terdapat bukan sahaja pada ukiran tetapi juga pada batik, songket dan seni logam.

Bagi Siti Zainon, “dalam ukiran, pengertian awan melarat terus dirujukkan kepada hiasan yang berkait coraknya. Ini ditentukan pula oleh gaya motif yang disusun…Peranan gerak batang atau sulur menentukan pergertian awan melarat dalam seni ukir.”

Satu pemerhatian yang cermat oleh Mubin Sheppard tentang jenis ukiran Melayu, dalam bukunya, Mekarnya Seni Pertukangan Malaysia (1980). Beliau membezakan antara ukiran jenis timbul dengan jenis tebuk. Menurut beliau:

Reka bentuk ukiran kayu Melayu untuk dinding, pemidang, kerusi ataupun meja terbahagi kepada dua jenis yang asasi, iaitu satu ukiran tebuk dan satu lagi ukiran timbul. Sekeping ukiran timbul akan mempesonakan kita dengan keindahan reka bentuknya dan memperlihatkan permukaan yang penuh diliputi ukiran, tetapi tidak boleh ditembusi udara dan cahaya.

Sekeping ukiran tebuk pula akan menarik perhatian kerana kehalusan ciptaannya yang diserikan dengan cahaya…Ukiran jenis ini kadang kala diperindahkan dengan mengukirkan dahan atau daun yang melengkar dan menyusup ke bawah dan ke atas, antara satu sama lain; ini disebut ukiran silap.

Karya Ukiran 

Di bangunan Parlimen Malaysia, terdapat sebuah dinding kayu yang besar hasil daripada ukiran kayu yang bagus. Selain itu, ukiran pada pintu Masjid Wilayah Persekutuan juga merupakan suatu hasil ukiran yang bagus dan teliti.

Begitu juga dengan hasil perabot yang dibuat oleh tukang Melayu pada awal abad ke-20, menampakkan kerawang yang ringkas tetapi elegan. Namun pada hari ini pertukangan dan kemahiran mengukir semakin langka.

Nama-nama ragam hias dan bahagian pada bangunan rumah Melayu lama tidak lagi dikenali oleh generasi hari ini. Istilah seperti, “atap limas”, “pintu malim,” “kaluk pakis”, “tampuk pinang,” dan “roda bunga,” sudah hilang ditelan zaman.

Rumah Melayu

Tukang rumah Melayu tradisional membina rumah tanpa paku. Dipasak selak yang ditebuk dan dipasang bagi mengukuhkan rangka rumah. Dalam kalangan sarjana yang menekuni tentang hal ini, iaitu Hijaz Kasturi menulis:

Pertukangan tangan Melayu di zaman seni bina serumpun adalah terpuji bukan sahaja dalam kalangan tukang kayu (carpentry) bahkan juga di dalam segi tukang pahat (joinery).”

“Tebuk menebuk di antara tianga dengan pelanggar, resuk dan perabung dengan tidak memakai paku adalah pertukangan Melayu yang masak kebolehannya..

Para pengukir pasti mewarisi daripada adi tukang sebelumnya, namun setiap pengukir itu hadir dengan bakat dan pengalaman masing-masing akan menghasilkan penciptaan yang tersendiri.

Kepandaian ini bukan setakat pandai mencipta reka bentuk tetapi juga pemilihan bahan yang sesuai. Pengetahuan pada jenis kayu-kayan juga menentukan mutu ketukangan yang dihasilkan.

Keistimewaan ukiran pada kayu bukan sahaja menjadi perabot atau bahagian rumah nampak menarik tetapi juga memberikan daya tahan. Menurut Ibrahim Ismail:

“Ukiran-ukiran kayu ini selain daripada bentuk hiasannya, juga mempunyai kegunaaanya yang tertentu: iaitu kayu apabila dipahat atau ditebuk didapati lebih tahan lama, cepat kering, kurang bengkok-bengkok oleh panas dan hujan serta lebih ringan diangkat; selain daripada itu dengan adanya lubang-lubang udara dapat keluar masuk menerusinya.”

Tukang kayu juga mesti mahir dalam pemilihan kayu untuk dijadikan bahan ketukangannya. Ada juga tercatat tentang upacara tertentu dibuat setelah batang pohon ditebang. Mungkin ini sebagai tanda penghormatan dari si tukang kepada alam. Dalam usaha mencari kayu, harus dipastikan kayu yang kuat dan sesuai dengan binaan. Dalam ungkapan Melayu lama, terdapat anjuran sebegini:

Kalau kayu digerek kumbang

Dilintangkan ia patah

Ditegakkan ia rebah

 

Kalau kayu berlubang panjang

Empulurnya membawa miang

Tatalnya melenting mata

Patut dibuat kayu api

 

Kalau kayu berbunga lebat 

Buahnya mengujung dahan

Pucuknya menjarum-jarum

Kalau panas ia pecah

Kalau hujan ia lapuk

Terasnya tidak berurat

Empulurnya menggenag getah.”

Umumnya, ukiran Melayu bermutu tinggi kerana si tukang-pengukir akrab dengan alam sekitarnya. Namun begitu, akhhir-akhir ini akibat keterpisahan dari alam persekitaran mungkin menyekat ilham dalam proses mereka dan mengukir ukiran tersebut.

Mimbar Terukir

Kebanyakan masjid – masjid yang terdapat di Semenanjung, Sumatera dan Kalimantan Barat, masih menyimpan mimbar kayu dengan ukiran yang halus hasilnya, hiasan dinding dengan ayat-ayat al-Quran dan hiasan dinding dengan ukiran motif tumbuh-tumbuhan yang terukir dalam bentuk kerawang.

Namun pada hari ini, ukiran berkenaan dunia Melayu jarang mendapat tempat dalam seni  bina masjid yang dibina. Begitu juga dengan mimbar. Kita sudah tidak lagi membuat mimbar dengan ukiran halus bercorak gunungan pada kepala mimbar.

Bayangkan kalau mimbar tersebut diukir dengan gaya tersebut dan terletak di masjid sekitar Terengganu dan Melaka, sudah tentu lebih menarik perhatian. Sayangnya kita menggantikan banyak mimbar yang umumnya dengan reka bentuk moden ataupun dari Timur Tengah.

Wacana dan Pendidikan

Hari ini, wacana tentang keris, tanjak dan busana kebaya kembali popular. Namun begitu, warisan kerja tangan bangsa Melayu belum mendapat perhatian yang selayaknya. Kita harus memberikan keutamaan tentang kepandaian bertukang dan mengukir.

Selain buku Rupa& Jiwa oleh Syed Ahmad Jamal, ada beberapa buku yang lain yang membicarakan tentang kepandaian ketukangan kayu dalam masyarakat Melayu. Antaranya  Spirit of the Wood (2003) oleh Farish Noor dan Eddin Khoo.

Dalam buku tersebut, tulisan pengantar oleh Mubin Sheppard amatlah terkesan kepada pembaca (penulis). Pengkaji dari Muzium Negara, yakni Abdul Halim Nasir telah menulis dua buku utama yang membicarakan seni bina dan reka bentuk Melayu.

Masyarakat perlu didedahkan dari masa ke masa tentang kemahiran dan kesenian ukiran dan binaan Melayu. Rancangan dalam televisyen yang memperkenal tokoh tukang kayu yang handal harus diusahakan.

Sebagai contoh, dokumentari yang dihasilkan oleh Radio Televisyen Malaysia tentang pengukir terkenal Encik Wan Mustafa Wan Su dari Terengganu merupakan contoh yang terbaik.

Estetika Melayu dalam Hiasan 

Syed Ahmad Jamal pernah menyinggung tentang perkara ini:

Seniman yang ulung dapat memperkayakan rekaan tradisi mengikut pengamatan, kepekaan, kemahiran dan daya cipta sebagai seniman. Ini dapat disaksikan pada sesuatu hasil seni. Sistem latihan perintis masih berlaku dalam kalangan seniman Melayu. Antara mereka yang menerima latihan, ada mempunyai tarikan lebih daripada yang lain dan hakikat ini diterima oleh sebahagian besar kumpulan itu, sungguhpun tidak semestinya diterima oleh mereka dari kumpulan lain.”

Dengan adanya estetika tinggi dalam hal hiasan dan seni bina yang terbangun dalam selera kebudayaan Melayu, maka tidak menghairankan keluarga Melayu meletakkan keutamaan besar pada menghias rumah.

Namun ke depan, seni ukiran Melayu harus mendapat tempat. Industri ukiran harus mendapat tempat, membangun dan mengembangkan kepandaian ketukangan.

Pengiktirafan

Tukang rumah, tukang kayu, tukang besi, tukang batu – adalah orang-orang yang memiliki kepandaian tertentu, dan sangat dihormati dalam masyarakat Melayu.

Dalam kehidupan orang-orang Melayu, susunan masyarakat memerlukan demang (sebagai ketua daerah atau pemukiman), pawang (sebagai tukang ubat dan penjaga keselamatan kampung), dagang-santri (alim yang mengajar agama) dan tukang (yang membuat dan membina  keperluan fizikal penduduk).

Malah disebut dalam pepatah kita: “Tukang tidak membuang kayu.” Membawa erti betapa orang yang bijak dah berhemah menggunakan bahan atau sumber, tanpa pembaziran atau berbuat yang sia-sia.

Di Malaysia semenjak hujung abad ke-19 sehingga kini, tercatat nama-nama adiguru tukang kayu seperti Che Long Yusof, Wan Su Othman, Abd. Rahman Long, Tengku Ibrahim Tengku Wok, Nik Rashiddin Nik Hussein dan beberapa yang lain.

Pada tahun 2022, Norhaiza Noordin telah diangkat menjadi Tokoh Kraf Negara. Beliau sendiri pernah menjadi perantis di bawah Nik Rashiddin Nik Hussein. Kaedah perantis wajar digiatkan, program biasiswa khas harus diberikan kepada anak-anak muda bagi menarik minat mereka dalam bidang ini.

Sebagaimana yang dipesankan oleh Norhaiza Nordin:  “Mengukir kayu adalah suatu bahasa. Ia suatu cara kita berhubungan dengan leluhur, dan menceritakan  kisah dan kesenian agar warisan kita dapat bertahan.

Malaysia melalui Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) merupakan suatu contoh di mana pendidikan dan pelatihan seni kebudayaan Malaysia direncana sehingga lahir kepakaran dalam bidang-bidang kesenian yang sememangnya memerlukan dukungan negara.

Di Jepun, tradisi ketukangan mereka sangat dijaga dan berkesinambungan dari generasi ke generasi. Model perantis mereka boleh kita contohi. Lihat saja bagaimana tradisi pembuatan tembikar seramik Jepun menjadi kesenian yang tinggi mutunya sehingga mendapat pengiktiran dunia.

Semenjak beberapa dekad ini, kain tenun Pahang telah kembali popular dan pembuatannya bertambah hasil dari penaungan dari Istana Pahang. Begitu juga hari ini kain tenun Johor mulai mendapat perhatian. Royal patronage sebegini sangat membantu kepada bidang kemahiran yang khas dan langka dalam masyarakat.

Mungkin sudah sampai masanya didirikan sebuah akademi pertukangan dan pengukiran Melayu (Nusantara). Akademi seperti ini boleh menawarkan latihan sehinga seni pertukangan kayu dan ukiran menjadi sebati dengan masyarakat.

Sebagaimana yang diajukan oleh Tenas Effendi, dengan kata-kata berhemah:

“Budaya Melayu juga mengajarkan bahawa merancang dan melaksanakan pembangunan hendaklah dilandasi dengan ilmu pengetahuan yang cukup. Orang tua-tua mengatakan: “Kalau membangun tidak berilmu, Bagai pelita tidak bersumbu” ; atau dikatakan: “pekerjaan orang yang tidak pandai, ialah memandai-mandai”, atau dikatakan: “bila tak ada ilmu di dada, sebarang kerja akan sia-sia.”  Kerananya, untuk merancang dan melaksanakan pembangunan dicari tenaga-tenaga yang ahli di bidangnya, agar menghasilkan kerja yang baik dan tidak asal-asalan saja.”

Keunggulan tukang ukir dan tukang rumah Melayu wajar diapresiasi dan dicatat sebagai khazanah bangsa. Namun itu tidak akan bermakna apa-apa selagi usaha tidak dibuat untuk melestari dan membangun kesenian dan pertukangan Melayu ke tingkat yang lebih tinggi.

_____________________________________

Dr. Azhar Ibrahim merupakan pensyarah di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi