Diterbitkan pada 21 April 2026, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan kepentingan memelihara warisan sejarah negeri dan negara ketika berkenan berangkat melawat Bangunan Sultan Abdul Samad yang kini telah dipulihara dan dibuka semula kepada umum.

Dalam titah baginda, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah itu disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan khazanah sejarah negeri Selangor tidak hilang ditelan zaman. Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Khazanah Nasional atas usaha teliti dan berwibawa dalam menghidupkan semula bangunan ikonik tersebut.

“Sekiranya usaha seperti ini tidak dilaksanakan, maka warisan sejarah negeri Selangor yang tidak ternilai ini berisiko untuk hilang dan lenyap begitu sahaja,” titah baginda pada 9 April lalu.

Baginda turut mengimbas kebimbangan yang pernah disuarakan sekitar tahun 2018 dan 2019 mengenai keadaan bangunan bersejarah Selangor di Kuala Lumpur yang semakin terabai. Oleh itu, baginda menzahirkan rasa gembira apabila Bangunan Sultan Abdul Samad serta Seri Negara kini berjaya dipulihkan kepada keindahan asalnya.

Bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1894 itu mempunyai nilai signifikan dalam sejarah pentadbiran negara. Temapt tersebut pernah menjadi pusat pentadbiran Negeri Selangor dan kemudiannya ibu pejabat bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran pada tahun 1896.

Menurut baginda, bangunan tersebut juga mempunyai nilai sentimental peribadi apabila baginda pernah berkhidmat di situ pada tahun 1968 di bawah pentadbiran Allahyarham Harun Idris. Pengalaman itu, titah baginda, memberi pendedahan penting kepada selok-belok pentadbiran negeri.

Baginda turut menyingkap sejarah penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 yang diperkenankan oleh ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sebagai satu pengorbanan besar demi kemajuan negara.

Kini, selepas melalui proses pemuliharaan rapi, Bangunan Sultan Abdul Samad telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kali pada 2 Februari 2026 sebagai ruang awam yang boleh diakses pengunjung.

Baginda berharap usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperkasa dan diperluas ke tapak-tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan sejarah Negeri Selangor.

“Warisan sejarah bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan asas jati diri bangsa dan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” titah baginda.

Lawatan tersebut turut diiringi oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah serta Yang Mulia Afzaa Fadini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi