Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Bengkel tarian “Forging Traditions, Empowering Communities” edisi Perlis 2026 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu berjaya menghimpunkan peserta dalam suatu wadah seni yang memperkukuh apresiasi terhadap warisan budaya.
Program ini terus menonjol sebagai platform penting untuk memperkasakan komuniti melalui seni tari tradisional yang sarat dengan nilai sejarah dan identiti masyarakat majmuk Malaysia.
Dianjurkan oleh ASK Dance Company, program ini telah dilaksanakan secara konsisten sejak tahun 2011, menjangkau tempoh 15 tahun dalam usaha memartabatkan seni tari sebagai medium pendidikan budaya.
Sepanjang penganjurannya, lebih 35 000 peserta dari dalam dan luar negara telah mendapat manfaat daripada bengkel percuma yang bersifat inklusif dan terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Edisi Perlis 2026 mencatat pencapaian membanggakan apabila jumlah penyertaan meningkat dengan ketara berbanding dengan penganjuran pada tahun 2013, 2018 dan 2024.

Sambutan luar biasa ini memperlihatkan kesedaran dan minat yang semakin subur dalam kalangan masyarakat terhadap seni tari tradisional sebagai khazanah budaya yang perlu dipelihara.
Program ini menghimpunkan lebih 20 kumpulan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat, termasuklah golongan B40.
Pendekatan ini selaras dengan matlamat untuk memperluas akses pendidikan seni secara percuma dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang.
Dalam bengkel ini, peserta didedahkan kepada Tarian Melayu Asli dan Tarian Kipas Cina yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Sejak diperkenalkan, program ini telah merangkumi lebih daripada 24 jenis tarian tradisional dan klasik, termasuklah Tarian Mengadap Rebab, Inang, Zapin, Terinai Mengadap, Joget Gamelan dan Bharatanatyam.
Kepelbagaian ini memperlihatkan keindahan interaksi budaya yang menjadi asas keharmonian masyarakat.
Sebanyak 10 tenaga pengajar sepenuh masa ASK Dance Company bersama-sama lapan tenaga pengajar jemputan terlibat menjayakan bengkel ini.
Kepakaran mereka bukan sahaja menyampaikan teknik pergerakan tari, malah turut menghidupkan nilai estetika dan falsafah di sebalik setiap persembahan.
Sebagai kesinambungan kepada bengkel ini, pementasan “Menempa Tari Tradisi 2026 di Kota Kayangan” akan berlangsung pada 24 dan 25 April 2026 di Auditorium JKKN Perlis.

Persembahan ini menampilkan kolaborasi antara generasi yang melibatkan tokoh budaya, penari profesional, pelajar universiti dan bakat muda tempatan, sekali gus memperkaya pengalaman seni yang menyeluruh kepada masyarakat.
Program ini disokong oleh Yayasan Sime Darby sebagai penaja utama dan Yayasan Hasanah bagi edisi Perlis 2026, dengan kerjasama strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Penganjuran ini bukan sahaja menyemarakkan kegiatan seni budaya, malah memperkukuh peranan tari sebagai medium penyatuan komuniti dan pemeliharaan warisan untuk generasi akan datang.