Diterbitkan pada 24 April 2026, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lambat laun kita akan sedar yang momen penting dalam hidup bukanlah hari lahir, hari graduasi atau perkahwinan, bukan jua pencapaian besar. Titik tolak sebenar… menyinggah ke pintu ingatan tanpa disangka, seperti seekor anjing liar yang berkeliaran, menghidu sekeliling sebentar, dan akhirnya tidak pernah pergi. Hidup kita diukur oleh momen-momen ini.

  • Susan B. Anthony, penduduk Rochester, 1845-1906 (Memory City).

Usai mengerjakan rutin mingguan, yakni menangkap foto di sekitar Kuala Lumpur, penulis mengambil keputusan singgah sebentar di KL Sentral, dan seterusnya menyinggah di sebuah kedai buku lama.

Tanpa apa-apa tanggapan,  ditemani cahaya lampu yang malap, penulis “menyelam” dalam tindihan dan timbunan buku yang di susun rawak dalam kedai buku tersebut. Beberapa kali penulis menyeka peluh di dahi, sebelum akhirnya terpana kepada sepasang nama pada setulang buku; Alex Webb and Rebecca Norris Webb.

Buku tersebut berjudul Memory City: The Fading Days of Film, terbitan Thames and Hudson. Lekas penulis mencapai dan membelek harganya. Usai membelek foto, dan melihat harganya yang rahmah, penulis putuskan segara melangkah ke kaunter untuk membayar.

Ada dua lapis nostalgia yang pasangan Webb bawakan melalui buku ini; Nostalgia terhadap filem seluloid.  Kedua, nostalgia terhadap (Kota Rochester), rumah kepada Eastman Kodak selama 125 tahun dan akhirnya pada tahun 2012, syarikat itu diisytiharkan bankrap.

Rochester (dalam tangkapan Alex dan Rebecca) adalah sebuah kota subbandar, sedikit asing ketimbang foto-foto di New York yang sering dirakam dalam fotograf. Malah terasa berbeza daripada foto-foto Alex Webb yang sebelumnya terkenal dengan foto-foto di Mecixo, Haiti dan Cuba.

Boleh rujuk tulisan penulis: (Sengsara Cahaya: Alex Webb, Fotografi dan Novel ).

Foto Alex Webb dalam Memory City merupakan foto-foto hitam putih yang ditangkap menggunakan Kodachrome (filem positif berwarna yang menjadi kegemarannya selama hampir 30 tahun).

Jukstaposisi antara fotografi digital dengan fotografi filem dalam buku foto membawa kembali nostalgia relektif’dalam pengertian Svetlana Boym (baca Future of Nostalgia) yang menunjukkan ada kesedaran tentang masa silam, namun masa silam bukanlah sesuatu untuk dibina semula sebaliknya dijadikan pedoman untuk bergerak ke masa hadapan.

Bukan soal medium filemnya sahaja, tetapi keseluruhan buku ini juga adalah satu bentuk nostalgia reflektif. Kata Boym, nostalgia refelektif lebih tertumpu kepada hubungan sejarah dan individu, dengan ketentuan bahawa masa lalu yang tidak boleh diubah dan kewujudan manusia itu terbatas.

Tegas Boym juga, fokus nostalgia reflektif bukan pada usaha tetapi menegaskan (mengembalikan) suatu kebenaran mutlak pada sejarah  dan dalam suatu bentuk meditasi tentang sejarah dan perjalanan masa. Boym meminjam apa yang disebut Nabokov sebagai ‘…amateurs of Time, epicures of duration…’ sebagai gambaran kepada reflektif nostalgia.

Satu lagi nostalgia yang disebut oleh Boym sebagai ‘nostalgia restoratif’. Nostalgia restoratif menekankan pada “nostos”-nya dan mencuba rekonstruksi sejarah mengenai rumah yang hilang.

Nostalgia reflektif berkembang dalam “algia”-nya, kerinduan itu sendiri, dan menangguhkan kepulangan ke rumah (homecoming)—dengan hati yang rindu, ironis dan putus asa.

Dalam hal yang lain, seperti kebiasaan, buku foto dari Webb berpasangan ini pasti akan bersulamkan susastera. Untuk Memory City, bermula dengan petikan dari Italo Calvino (dalam Invisible Cities):

The city, however, does not tell us its past, but contains it like the line of the hand, written in the concerns of the streets, the grantings of the windows… the antennae of the lighting rods, the poles of the flags, evey segment marked in turn  with scrathes, indentations, scrolls.

Dibalas fotowan Amerika, Ray Metzker, bahawa fotografi itu terikat dengan satu paradoks: menjadikan apa yang fana itu abadi. Maka mahu tidak mahu, setiap kali kita mengetik punat pengatup (shutter) kita sedang cuba menjadikan apa yang fana itu abadi.

Namun begitu, keadaan ini tak bermakna menjadikan medium ini semata-mata restoratif, tetapi sebagai tatapan dan bukti sejarah supaya kita boleh berefleksi.

Antara hal lain yang ‘diratapi’ dan ‘diimbaui’ dalam buku foto adalah hari-hari akhir filem seluloid dan rengsanya filem seluloid dengan pengumuman kebankrapan dan penutupan syarikat Kodak itu.

Yang diratapi Rebecca itu adalah kematerian filem seluloid dan temporaliti-nya:

What I particularly like is that film leaves something tangible behind  — a slip of celluloid that occupied the same space and time and perhaps bad weather as the photographer. Even if film is nothing more than filmiest of materials – like those silk or satin or organza dresses worn only once to a memorable event – film had accompanied us to dance after dance, wedding after wedding, funeral after funeral. No matter the weather’

Rebecca Norris Webb

Bercakap tentang foto, penulis menyedari bahawa dalam buku foto termuat sebuah foto ikonik dari Alex Webb, yakni foto di Dance Hall, Lake Ontario. Foto dengan gaya cahaya “chiaroscuro” yang sangat identik dengan Alex Webb dengan empat subjek sebagai latar depan (foreground) memakai baju-baju berwarna terang.

Foto-foto Alex pula sebenarnya secara halus menunjukkan pengaruh Kodak yang kuat kepada Kota Rochester seperti di Festival Jazz, Eastman Theatre yang mana disebalik lapisan manusia antara bayang dengan cahaya, kita akan dapat melihat poster Radio Music Society.

Foto-foto Rebecca pula banyak bermain dengan cermin dan refleksi,mewujudkan imejan dedahan berganda (double exposure) menjadikan bukan sahaja foto menjadi samar tetapi imejan menjadi bertindan.

Hal ini menarik untuk dikaitkan dengan memori kerana memori sendiri sedang saling bertindan-tindih dan tidak linear.

Begitu juga, antara motif lain dari foto-foto Rebecca adalah baju gaun; gaun quincenera, gaun prom, gaun perkahwinan. Foto-foto baju gaun ini dipaparkan tergantung pada penyangkut baju, kadang-kadang dalam plastik dan selalu terasa solitude dan sepi.

Ketimbang foto-foto Alex, penulis berpendapat foto-foto Rebecca lebih menangkap nuansa nostalgia yang memori yang melankolik.

Antara foto kegemaran penulis hasil ketikan Rebecca ialah foto kembar Greece: Marie dan Meg’s Favourite Dress yang memaparkan dua orang kembar dalam satu bingkai, tetapi dalam jukstaposisi dengan refleksi di cermin yang menjadikannya sedikit misteri dan kabur yang menimbulkan perasaan:

Apakah mereka benar-benar kembar atau itu adalah diri seorang gadis dari masa lalu? Tambah pula di kembar yang di bawah dedahan berganda memakai gaun merah jambu kegemaran mereka, sekal igus sebuah menguatkan lagi nuansa nostalgia.

Buku ini mengambil pendekatan seperti memori yang kadang-kadang terselit dan menyelinap dalam momen besar, menyisipkan poster-poster yang tertampal, yang perlu kita sebagai pengamatnya membelek dan membuka; menjadi pembaca yang aktif dalam proses menelusuri rakaman nostalgia ini.

Obesesi Rebecca terhadap motif gaun ini lebih jelas menerusi sisipan dua helaian kontak (contact sheet) ditempelkan ke dalam buku foto, di mana kita dapat melihat banyak foto gaun yang sama di dalam satu helaian.

Kita dapat melihat contengan Robecce terhadap bingkai foto yang dipilihnya dalam helain kontak itu, sekali lagi menjadikan kita sebagai pembaca dan pengamat yang aktif.

Dalam nota kedua, Rebecca menulis tentang “Selamat Tinggal kepada filem” yang merupakan elegi bukan sahaja pada filem tetapi terhadap ibu mertuanya, Nancy Webb yang menghidap leukimia dan tiga bulan sebelum Kodak diumumkan kebankrapannya.

Rebecca menulis dalam kedua-dua momento; saya sedang berlutut di hadapan gaun merah terpakai ini berhampiran pusat bandar Rochester yang sunyi, selain ratapannya terhadap filem seluloid diakhiri dengan elegi;  Adakah “penantian” adalah hal yang paling akan saya rindukan?’ Kerana kita semua tahu, memotret foto dengan filem seluloid beerti memotret dengan ‘penantian’ – menghayati proses, menghayati keperlahanan, menghayati ketidaksempurnaan.

Memory City –  buku foto ini tertulis; “buku ini adalah eksplorasi fotografik terhadap Rochester, New York – yang selama 125 tahun menjadi rumah kepada Eastman Kodak, sebuah syarikat yang disahkan bankrap pada tahun 2012— emasa apa yang boleh dianggap hari-hari terakhir filem setahu kita”.

Namun hari ini, fotografi filem mengalami apa yang disebut sebagai revivalisme; kebangkitan semula yang seperti fitrahnya, kesemua barang bernama nostalgia itu sudah pasti dikomoditikan dengan harga melambung.

Syarikat Kodak itu pula mulai merekonstruksi model perniagaan dan tak kurang studio-studio besar Hollywood  memeterai perjanjian kerjasama dengan Kodak untuk memastikan kelangsungan syarikat bersejarah itu.

Akhir sekali, bak pesan Mahmoud Darwish, yakni dalam konteks berbeza tetapi iktibar yang serupa bahawa “kamu tidak akan bertemu dengan orang yang sama dua kali, meskipun dengan orang yang sama.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi