Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Tiada sesiapa pada masa ini yang dapat menyelami kemeriahan arena scene gig kumpulan muzik bawah tanah di Ipoh pada era 1990-an jika tidak didokumentasikan melalui sebarang bentuk rakaman.
Demikian pandangan Mohd Jayzuan sewaktu membicarakan inti pati naskhah terkininya berjudul Menten Selekes dalam program diskusi buku anjuran Komuniti Buku Utara (Komkura) dengan kerjasama The Biblio Press di premis baharu Biblio Ipoh, semalam.
Menurut Mohd Jayzuan, judul ini dipilih selepas beliau terpandang kata-kata azimat tersebut yang diconteng oleh individu misteri dalam buku nota pelawat studio Bodysurf Music.
Istilah itu katanya berasal daripada frasa Maintain Slackers yang merujuk budaya santai peminat muzik indie rock dan grunge pada zaman tersebut.
Jika beliau sendiri tidak mendokumentasikan segala kisah jatuh bangun bersama-sama rakan seperjuangan dalam arena muzik indie berdasarkan pengalaman sendiri, kisah yang disampaikan oleh orang lain akhirnya hanya akan menjadi khabar angin yang sukar dipastikan kesahihannya.
“Seni, biasanya, apabila sudah sampai peringkat tertinggi, kita sudah tidak mampu punya kata, kerana yang terkesan ialah rasa.” Begitulah ungkapan pemikiran Jay yang dipetik daripada buku ini dalam manifestasi perasaan beliau apabila berdiskusi soal seni tulisan, lukisan ataupun muzik yang telah menjadi darah dagingnya sejak remaja.
Sebagai seorang yang telah memahatkan istilah anak seni dalam diri, beliau tidak mampu memaksa dirinya hidup dalam rutin kerja dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang persis adik-beradiknya yang lain.
Menurutnya lagi, walaupun insan seni dilihat kerap menghabiskan masa di kopitiam, menonton filem atau sekadar merayau-rayau di kawasan setempat, tetapi baginya, itulah proses pembenihan karya yang memerlukan penulis membajak ranah realiti setempat.
Garapan ini akhirnya akan menumbuhkan sepohon naskhah yang matang lalu boleh membuahkan hasil yang akan dapat dinikmati oleh semua.
“Kami sama-sama datang dari latar scene muzik yang deras, labang dan bingit, dalam kebingitan itu kami mencari damai, ingin meneroka jalan cahaya.”
Mohd Jayzuan menyatakan bahawa keinginannya untuk berjaya dalam bidang seni menjadi motivasi paling kuat untuk membentuk dirinya hari ini. Walau segelap mana sekalipun sejarah hidup seseorang, akhirnya yang dicari hanyalah kedamaian dalam sujud yang panjang.