Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar (PACUKK) merupakan perpustakaan awam pertama di Malaysia yang memperkenalkan konsep bibliopelancongan.
Pendekatan inovatif ini diambil bagi menggalakkan pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi perpustakaan.
Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk), Puan Rafidah Abdul Aziz, jika pihak pustakawan hanya meletakkan buku di rak-rak perpustakaan, sudah tentu tidak begitu banyak orang yang membacanya. Oleh itu, pendekatan secara digital perlu ditampilkan supaya lebih menarik pengunjung perpustakaan.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum “Mengangkat Kuala Kangsar sebagai Hab Bibliotourism” yang berlangsung di PACUKK pada 9 Mei 2026 yang lalu.
Bibliopelancongan ialah konsep pengembaraan dan kecintaan terhadap perpustakaan, iaitu pelancong tempatan dan antarabangsa akan menjadikan perpustakaan sebagai sumber rujukan dan panduan.
Dengan menampilkan gambar bersejarah, karya seni dan budaya masyarakat tempatan di ruang dalaman bangunan, PACUKK telah berkembang menjadi pusat sehenti penting di Kuala Kangsar.
Pengunjung boleh menikmati lawatan maya yang memaparkan keindahan daerah Kuala Kangsar, termasuk lokasi pelancongan menarik dengan pemandangan indah, makanan tempatan yang lazat, serta kraftangan hasil tempatan.
Lokasi strategik PACUKK berhampiran dengan Sungai Perak, yang dahulunya merupakan laluan utama pengangkutan darat, menjadikan perpustakaan tersebut tempat yang ideal untuk pencipta kandungan, dengan banyak peluang untuk mengambil gambar dan menghasilkan video untuk dimuat naik dalam media sosial.
Bagi menarik minat pelancong, PACUKK turut menawarkan pelbagai kemudahan dan fasiliti. Bahan bacaan berkaitan dengan tempat menarik di kawasan ini dipamerkan bersama-sama poster, pameran, dan aktiviti berkaitan.
Selain itu, pelancong juga boleh menikmati akses WiFi percuma dan bekalan elektrik untuk memudahkan mereka menyemak e-mel, mencari maklumat, mengemas kini akaun media sosial, serta mengecas alat peranti.
Secara keseluruhannya, konsep bibliopelancongan telah mentransformasikan PACUKK menjadi destinasi wajib dikunjungi bagi pelancong yang berminat meneroka kekayaan warisan budaya Malaysia.
Ahli panel lain yang turut diundang dalam forum tersebut ialah YBhg. Dato’ Mohd. Kamil Dato’ Shafie, Pengerusi Lembaga Pengarah, Tourism Perak Management Berhad; dan Encik Muhammad Faeedz Saidi Othman, Pegawai ThinkCity.