Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Kuala Kangsar Library Fest 2026 (KKLF2026) yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar (PACUKK) pada 9 Mei lalu membuktikan bahawa perpustakaan awam terus relevan sepanjang zaman.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri, Universiti Sultan Azlan Shah, YBhg. Prof. Dr. Jamili Yeob berkata, perpustakaan masih diperlukan tanpa mengira jenis dan konsep bahan yang terdapat di dalamnya. Perpustakaan masih relevan hingga sekarang walaupun kini tidak lagi disebut sebagai kutub khanah.
Beliau turut memuji usaha PPANPk menganjurkan program tersebut dan berharap festival yang dianjurkan berjaya mencapai matlamat, dan dapat dijadikan acara tahunan.
“Melalui program seperti ini juga berharap perpustakaan awam akan terus dikunjungi ramai, dan menjadi platform komuniti yang santai dan interaktif,” katanya.
Antara aktiviti menarik yang mengisi KKLF2026 termasuklah Pertandingan Bercerita (Legenda dan Hikayat: Cerita Rakyat untuk pelajar tahun 4, 5 dan 6), Forum Bibliopelancongan bertajuk “Mengangkat Kuala Kangsar Sebagai Hab Bibliopelancongan”, Poundfit, Leaf Photography Workshop bersama-sama Encik Hafizi Eiji, pakar bedah daun; Comot Kids, Bengkel AI Pendidikan, Biblioclay (untuk pelajar tahun 1, 2 dan 3), Pertandingan Video TikTok, Apresiasi “Namanya Ratna Laila Shahidin Ibu Bunga Matahari”, serta jualan makanan dan minuman.
Penganjuran KKLF2026 turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penjara Malaysia, Universiti Sultan Azlan Shah, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, NADI, ThinkCity, Tourism Perak dan Promising Perak.
Penganjur berharap penganjuran KKLF2026 dapat terus menyemarakkan budaya membaca, memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat komuniti ilmu, serta mengeratkan hubungan masyarakat melalui dunia literasi dan kreativiti.
Majlis perasmian penutup KKLF2026 turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu puisi Permata untuk Isteri, dan Masihkah Kau Ingat oleh Siso Kopratasa.