Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sambutan Minggu Perpaduan Negara 2026 Peringkat Zon Tengah yang berlangsung pada 15 Mei hingga 17 Mei 2026 bukan sahaja meraikan keunikan budaya dan memartabatkan peranan muzium, malah menjadi pemangkin kepada keharmonian dan keutuhan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
Program yang berlangsung di Dataran Muzium Negara ini meriah diwarnai dengan pelbagai aktiviti menarik yang berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan latar belakang dalam suasana penuh harmoni.
Penganjurannya bukan sahaja berfungsi sebagai platform interaksi, malah bertindak sebagai tapak integrasi nasional yang memperkukuh semangat kebersamaan dan persefahaman merentas generasi.

Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa agenda perpaduan negara tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperkukuh identiti nasional berasaskan kefahaman sejarah serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.
“Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, perpaduan merupakan kekuatan utama negara yang perlu dipelihara. Muzium juga perlu terus diperkasakan sebagai wadah penyatuan rakyat melalui penghayatan sejarah, warisan dan identiti negara selaras dengan aspirasi Bersama Membina Negara Bangsa,” jelas beliau melalui hantaran di laman Facebook rasminya.
Bersempena dengan sambutan bertaraf antarabangsa tersebut, YB Menteri Perpaduan turut mengumumkan bahawa kesemua 19 muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan dibuka secara percuma kepada seluruh warganegara Malaysia pada 18 Mei.

Langkah ini diharapkan dapat memberi peluang kepada masyarakat, khususnya golongan belia, untuk meneroka khazanah warisan, sekali gus menghayati asas pembinaan negara bangsa.
Selain itu, penganjuran sambutan kali ini disifatkan amat signifikan kerana diraikan serentak dengan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 yang jatuh pada 18 Mei ini, dengan mengangkat tema Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah.

Antara aktiviti dan pameran yang diadakan sepanjang Sambutan Minggu Perpaduan Negara 2026 Zon Tengah tersebut termasuklah pameran reruai kaum di Malaysia yang dikenali sebagai Rumah KAMI, permainan tradisional, makanan tradisi dan pelbagai kebudayaan kaum di Malaysia .