Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ratu Rock negara, Ella bakal melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai penyanyi tempatan pertama yang akan mengadakan konsert solo di Stadium Negeri Pulau Pinang pada 25 Julai depan.

Konsert berskala besar bertajuk Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru itu dianjurkan oleh Hitman Solutions sebagai simbolik kepulangan penyanyi berkenaan ke negeri kelahirannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rishi Rampal berkata, pemilihan stadium tersebut dibuat berdasarkan fasilitinya yang cantik dan selesa, selain mahu menjadikannya sebagai penanda aras baharu buat industri hiburan tempatan.

“Kami berharap konsert ini akan membuka jalan kepada artis tempatan lain untuk mengadakan persembahan di lokasi ikonik ini pada masa hadapan.

“Aspek keselesaan penonton menjadi keutamaan kami, merangkumi sistem pendaftaran, kemudahan vendor serta kualiti sistem bunyi.

“Kami mahu setiap peminat, sama ada yang berada di zon bawah mahupun atas, menikmati pengalaman audio terbaik yang berbeza daripada konsert sebelum ini,” katanya kepada Dewan Budaya, baru-baru ini.

Pihak penganjur menjangkakan seramai 30,000 hingga 40,000 peminat bakal membanjiri stadium tersebut bagi menyaksikan persembahan bertenaga daripada penyanyi lagu Pengemis Cinta itu.

Sementara itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin mengakui berasa teruja dan sedikit gementar untuk beraksi di hadapan peminat di kampung halamannya sendiri.

“Semangat untuk pulang ke kampung halaman itu sangat kuat. Saya memilih Pulau Pinang kerana di situlah tempat saya dilahirkan, selain memenuhi permintaan ramai peminat yang mahu saya kembali mengadakan persembahan di sana.

“Bagi memastikan lebih ramai peminat berpeluang hadir, harga tiket dijual pada kadar mampu milik iaitu serendah RM39,” jelasnya.

Bagi peminat yang berdaftar sebagai ‘ahli terhormat’, mereka akan diberi keutamaan untuk membeli tiket bermula 8 Mei 2026, selain layak menikmati diskaun istimewa bagi kategori tertentu.

Manakala, jualan tiket untuk orang awam akan dibuka secara rasmi pada 11 Mei 2026 menerusi laman sesawang rasmi www.hitmanlive.com.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi