Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarah filem Tarung: Unforgiven, Razaisyam Rasyid, berkata naskhah terbaharunya itu merupakan sebuah filem menentang keganasan.
Walaupun filem tersebut memaparkan aksi dan pergaduhan, namun mesej utama yang dibincangkan dalam filem tersebut adalah mengenai sikap untuk saling memaafkan.
“Mesej besar filem ini adalah bagaimana kita nak berhadapan dengan diri kita nak minta maaf. Simbol itu sendiri sebenarnya menentang keganasan, bagaimana dari sikap tidak memaafkan seperti tajuknya, “unforgiven” kemudian dia memaafkan. Sebahagian daripada sikap memaafkan diri sendiri.
“Semuanya tentang keamanan sahaja. Kita nak bawa orang ke arah itu seperti yang anda tonton dalam filem ini,” katanya ketika ditemui Dewan Budaya, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, ujar Raizaisyam yang juga salah seorang penulis skrip filem ini turut menekankan tentang persahabatan antara karakter utama, iaitu Hatta lakonan Mierul Aiman dan Isa lakonan Aedy Ashraf.
Filem ini juga saya anggap sebagai surat cinta kepada sahabat .
Mengulas mengenai pembikinan filem itu, sebagai pengarah dia sangat menekankan aspek ketulenan menyebabkan dia meminta semua aksi dilakonkan sendiri oleh para pelakon.
“Dari aspek fizikal, seratus peratus aksi dilakukan sendiri oleh pelakon. Kami tidak menggunakan khidmat ‘stunt’.
“Baik Mierul Aiman, Aedy Ashraf mahupun Ubai, semuanya melalui babak aksi yang benar-benar nyata. Begitu juga watak Dahlia lakonan Azira Shafinaz, air mata yang ditampilkan juga adalah asli, sebagaimana yang saya kehendaki.
“Saya tidak mahu menipu penonton. Semua itu saya tuntut daripada pelakon termasuklah Zul Ariffin sendiri,” katanya.
Filem Tarung: Unforgiven mengisahkan perebutan kuasa dalam sebuah organisasi elit dikenali sebagai Marga, yang menyaksikan pertembungan sengit antara ahli-ahlinya.
Selain Mierul Aiman, Aedy Ashraf dan Zul Ariffin, filem ini turut dibintangi Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir serta Sky Iskandar.
Filem ini dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026 lalu.