Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Segamat – Sebuah perahu tradisional yang ditemukan di Kampung Paya Terap, Buloh Kasap kini sedang menjalani proses konservasi menyeluruh oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) selepas dikenal pasti mempunyai potensi nilai sejarah yang signifikan kepada warisan maritim negara.

Tindakan pemuliharaan itu dilaksanakan susulan aduan orang awam tentang keadaan perahu berkenaan yang dipercayai mempunyai nilai warisan penting.

Menurut JWN, pasukan daripada Bahagian Arkeologi menerusi Cawangan Arkeologi Bawah Air telah menjalankan kerja konservasi kering di lokasi penemuan sebelum perahu tersebut dipindahkan ke Muzium Kota Tinggi bagi tujuan konservasi lebih menyeluruh dan sistematik.

Operasi pemindahan serta konservasi itu turut mendapat kerjasama Yayasan Warisan Johor dan sokongan teknikal daripada Jabatan Muzium Malaysia.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Warisan merangkap Ketua Pengarah JWN, Muhammad Muda Bahadin telah melakukan lawatan kerja ke lokasi penemuan bagi menilai keadaan serta signifikasi perahu tersebut.

Hasil penilaian awal mendapati struktur dan kaedah pembinaan perahu berkenaan berpotensi menyumbang kepada pemahaman sejarah warisan maritim negara, khususnya berkaitan dengan tradisi pembuatan perahu masyarakat tempatan pada suatu ketika dahulu.

JWN turut merakamkan penghargaan kepada pengadu, komuniti Kampung Sepang Loi, penduduk setempat serta semua pihak yang terlibat menjayakan misi penyelamatan tersebut.

Menurut jabatan itu, keprihatinan masyarakat melaporkan penemuan warisan membuktikan bahawa wujudnya kesedaran bersama terhadap kepentingan memelihara khazanah sejarah dan kebudayaan negara.

Dalam perkembangan yang sama, JWN menyeru orang ramai supaya melaporkan sebarang penemuan berkaitan dengan warisan kebudayaan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil bagi tujuan pemuliharaan.

Perahu tradisional itu dijangka akan dipamerkan kepada umum di Muzium Kota Tinggi selepas selesai menjalani proses konservasi, selain bakal diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi