Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Pengenalan tokoh negarawan penting dalam sejarah negara bagi menyemai semangat perpaduan dan jati diri dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.”
Demikian inti pati ucapan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang, semasa merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens: “Legasi Huguan Siou Membina Negara Bangsa” anjuran Arkib Negara Malaysia di Hotel Le Meridien, semalam.
Menurut YB Datuk Aaron Ago Dagang, program seperti ini akan menjadi platform untuk meningkatkan pemahaman masyarakat berkaitan konsep pembinaan negara bangsa, dengan merujuk pada pembentukan negara yang menyatukan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Sebagai contoh, perjuangan Tun Fuad Stephens dalam pembentukan Malaysia, pembangunan Sabah dan penyatuan rakyat pelbagai kaum telah menjadi asas penting kepada proses pembinaan negara bangsa,” jelas beliau dalam ucapan perasmian.
Terdahulu program anjuran Arkib Negara Malaysia bertujuan mendokumentasikan pengisahan dan penceritaan mengenai jasa, sumbangan, ketokohan dan kepimpinan Tun Fuad Stephens sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Untuk maklumat, sebelum memeluk Islam, Tun Fuad Stephens dikenali sebagai Donald Aloysius Marmaduke Stephens, merupakan seorang tokoh besar yang berperanan penting dalam usaha membebaskan Sabah daripada penjajahan British.

Kemudiannya, beliau turut terlibat secara langsung dalam proses pembentukan Malaysia bagi memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Tun Mohd Fuad Stephens juga merupakan pemimpin pertama yang menerima gelaran Huguan Siou, yang bermaksud Pemimpin Agung, sebagai lambang kepercayaan dan penghormatan yang tinggi oleh masyarakat peribumi Sabah, khususnya etnik Kadazandusun.
Kepimpinan beliau dalam memperjuangkan perpaduan kaum serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang etnik di negeri Sabah menjadi suri teladan kepada para pemimpin di Sabah.
Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian berjudul “My Father: Huguan Siou” oleh YBrs. Puan Fauziah Mohd Fuad Stephens yang banyak menyentuh mengenai keperibadian dan kasih sayang Tun Mohd Stephens sebagai seorang ketua keluarga.
Pada sesi petang pula, program diteruskan dengan Sesi Bicara Negarawan yang menampilkan tiga tokoh pembicara, iaitu Profesor Felo Akademi Sains Malaysia, Universiti Malaya, YBhg. Profesor Datuk Dr. Danny Wong Tze Ken; Presiden Kadazan Dusun Cultural Association, YBhg. Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan dan Ketua Editor Daily Express, YBhg. Datuk James Sarda.
Sesi bicara yang dipengerusikan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah ini telah membincangkan peranan Tun Fuad Stephens dalam pembentukan Malaysia, di samping mengetengahkan legasi kepimpinan beliau.
Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia dan YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.
