Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempersembahkan pementasan Teater Antara Wilayah 2026 kepada khalayak sebagai usaha mengangkat karya sastera tempatan ke pentas seni yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, malam tadi.
Pementasan tersebut merupakan satu daripada program istimewa yang ditampilkan bersempena dengan ulang tahun DBP ke-70 serta ulang tahun DBP Wilayah Selatan ke-25.
Pementasan ini menampilkan tiga naskhah utama, iaitu Merah Kalimah Selatan, Radio 1964 dan Antara Persimpangan yang diilhamkan daripada kisah hidup serta karya Sasterawan Negara (SN).
Setiap naskhah mengangkat naratif yang sarat dengan nilai kemanusiaan, sejarah, budaya dan jati diri bangsa, sekali gus mencerminkan kekayaan warisan sastera tanah air.

Malam pementasan dimulakan dengan persembahan daripada DBP Wilayah Selatan yang bertajuk Merah Kalimah Selatan, karya dan arahan Affix Zulkarnaen Adam.
Pementasan ini menonjolkan nilai kemanusiaan dan jati diri bangsa yang kuat, selari dengan inspirasi SN Usman Awang melalui karya beliau yang bertajuk Melayu.
Persembahan ini mengangkat kisah perjuangan yang melangkaui naratif cinta, dengan menelusuri konflik jiwa dan semangat bangsa menerusi watak Uda yang masih terperangkap dalam kekecewaan setelah ditinggalkan Dara.

Kehadiran Pak Utih sebagai suara nasihat pula menjadi penggerak bagi usaha kebangkitan diri, sekali gus menyelitkan persoalan tentang erti perjuangan dan pengorbanan.

Pementasan teater Merah Kalimah Selatan ini menampilkan penampilan istimewa, iaitu tokoh teater, Mior Hashim Manap sebagai Pak Utih; Farhan sebagai Uda; dan Zaraa sebagai Dara yang masing-masing merupakan pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur.

Pementasan Teater Antara Wilayah 2026 diteruskan dengan persembahan daripada DBP Wilayah Utara, iaitu monodrama bertajuk Radio 1964 lakonan Aloy Paradoks yang diinspirasikan daripada cerpen Luka Sudah Sembuh, karya SN Abdullah Hussain.
Berlatarbelakangkan era konfrontasi Malaysia-Indonesia pada sekitar tahun 1963 hingga tahun 1964, naskhah ini mengangkat kisah penuh debar melibatkan pasangan suami isteri yang terpisah disebabkan oleh konflik geopolitik.
Watak Firman, seorang penulis yang kebuntuan idea, dihimpit kerisauan terhadap isterinya, Nuraini yang pulang ke tanah airnya, Indonesia dan berdepan dengan konflik di sana serta dipergunakan sebagai penyampai propaganda di radio.
Kegelisahan Firman semakin memuncak apabila usaha untuk mendapatkan khabar tentang isterinya menemui jalan buntu, sekali gus menonjolkan konflik jiwa dan harapan seorang suami dalam situasi genting.
Melalui pendekatan monodrama yang penuh dramatik ini, Radio 1964 berjaya menghidupkan suasana tegang yang berlaku pada era tersebut serta memberikan kesan emosi yang mendalam terhadap penonton.
Pelakon monodrama, Aloy Paradoks yang berusia 42 tahun merupakan seorang penulis skrip dan pelakon sepenuh masa yang masih aktif dalam bidang seni persembahan.

Beliau pernah memenangi Anugerah Boh Cameronian Arts pada tahun 2013 dan tahun 2025, selain menerima Anugerah Skrip Asal Terbaik serta Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Teater anjuran DBP.
Karya beliau merangkumi filem Martabat Misi Berdarah (2025) dan Libang Libu (2026), di samping kemunculannya sebagai pelakon utama dalam siri Metro Crime.
Pementasan Teater Antara Wilayah 2026 diakhiri oleh DBP Wilayah Tengah melalui naskhah bertajuk Antara Persimpangan dengan mengangkat lakaran kehidupan SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP.

Naskhah ini menelusuri perjalanan hidup seorang tokoh sastera yang bukan sahaja dikagumi kerana kebitaraan ilmunya, malah turut melalui pelbagai cabaran dan kesukaran sebelum mencapai kedudukan tersebut.

Pementasan naskah ini memperlihatkan bahawa setiap kejayaan menuntut pengorbanan serta ketabahan dalam menempuh liku-liku kehidupan.
Melalui pendekatan dramatik yang menyentuh emosi, teater Antara Persimpangan menuntut penonton untuk merenung makna pilihan dalam kehidupan, selari dengan tema setiap persimpangan menentukan arah dan jati diri seseorang.

Pementasan ini menampilkan Silmi Abshar sebagai watak cilik, Affan Yunus sebagai watak remaja dan Idham Maulana sebagai watak dewasa SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, serta kemunculan penampilan khas oleh SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sendiri, menggambarkan keistimewaan persembahan tersebut.

Yang turut hadir termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; serta Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.