Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTaiping – Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan memelihara khazanah warisan bangsa terus diperhebat menerusi penganjuran Festival Peranakan Malaysia 2026 yang berlangsung di Pusat Beli-belah Taiping Sentral, hari ini.
Program edisi keempat yang berlangsung selama dua hari itu merupakan inisiatif anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, serta beberapa rakan kerjasama strategik yang lain.

Penganjuran festival tersebut bukan sahaja menjadi manifestasi komitmen DBP bagi menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, khususnya komuniti Baba dan Nyonya, malah bertindak sebagai wahana penting untuk mengangkat seni dan budaya Peranakan agar terus dihargai sebagai identiti warisan negara.
Majlis perasmian festival kebudayaan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Yang Berhormat (YB) Teh Kok Lim.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe; serta Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, Puan Aninah Janang.
Bagi menyuntik daya tarikan dan percambahan ilmu, para pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian program yang berteraskan kehalusan bahasa dan budaya sepanjang festival itu berlangsung.
Antara aktiviti menarik yang dipertandingkan bagi menyemarakkan sambutan tersebut termasuklah Pertandingan Mewarna Identiti Peranakan, Pertandingan Melukis Poster Berdasarkan Pantun, Pertandingan Ratu Kebaya Nyonya Berpantun dan Pertandingan Eksplorasi Bahasa.