Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – Pertandingan Gema Pantun Warisan Madani peringkat sekolah menengah daerah Tangkak tahun 2026 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir pada 9 Julai lalu merupakan wadah untuk melahirkan pemantun muda.
Selain untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid, objektif pertandingan ini juga adalah untuk mengekalkan dan mengembangkan seni berpantun sebagai khazanah puisi Melayu tradisional dan warisan bangsa dengan menggalakkan daya fikir yang cepat, tepat, kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar.
Penolong kanan kokurikulum SMK Bukit gambir, Cikgu Loganathan a/l Gopal dalam ucapan alu-aluannya berkata, beliau amat berbesar hati apabila melihat generasi muda dapat meneruskan warisan kreatif yang ditinggalkan oleh generasi dahulu.
Sebanyak lima buah sekolah telah menghantar penyertaan, iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Lughatil Arabiah, SMK Bukit Gambir, SMK Tengku Mahmud Iskandar, SMK Ledang dan Sekolah Menengah Sains Muar, dengan dua pasukan terbaik dari SMK Ledang dan SMK Tengku Mahmud Iskandar bertemu dalam pusingan akhir.
Antara tema yang dibawa oleh pemantun sepanjang pertandingan termasuklah bahasa dan kesusasteraan, dunia pelancongan, gaya hidup sihat, sejarah dan warisan.
Kumpulan pemantun dari SMK Ledang telah dinobatkan sebagai juara, dan anugerah pemantun terbaik juga diberikan kepada pemantun pertama daripada kumpulan juara, iaitu Nurain Najihah binti Mohd Asri.
Penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Puan Shazulia binti Sapingi, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak.