23 April 2021, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

TUARAN – Tourism Malaysia melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan – Bagus Baini! pada 23 April 2021 dalam usaha untuk menyemarakkan pelancongan domestik. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelancaran Pakej Istimewa Penjawat Awam di Kuala Lumpur anjuran Tourism Malaysia pada 3 September 2020 yang lalu.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, yang hadir merasmikan pelancaran pakej berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah berkata, pakej yang memberikan tawaran istimewa dengan diskaun eksklusif buat penjawat awam dan pesara serta keluarga ini bertujuan menghargai khidmat bakti mereka ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19.

Pakej cuti tersebut memfokuskan kepada produk-produk pelancongan sekitar daerah di Sabah dan Labuan. Sebanyak 88 pakej pelancongan ditawarkan oleh 37 agensi pelancongan, 22 hotel serta 5 produk pelancongan yang mengambil bahagian bagi mempromosikan pakej percutian 2 hari 1 malam, 3 hari 2 malam, dan 4 hari 3 malam, dengan melibatkan hotel bertaraf 5, 4 dan 3 bintang serta hotel bajet di sekitar Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tambunan, Tenom, Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Tamparuli, Ranau, Sandakan, Tawau, Semporna dan Labuan.

Selain pakej penginapan, penjawat awam dan pesara juga boleh menikmati pakej produk-produk pelancongan menarik untuk kunjungan harian dengan kadar diskaun harga tiket masuk sehingga 20 peratus. Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Mari Mari Cultural Village dan Muzium Lotud di Tuaran, Rumah Terbalik dan 3D Wonder Museum, Walai Tobilung di Kota Marudu dan Rimbun Stingless Bee Farm di Labuan. Tempoh sah laku pakej adalah hingga 31 Disember 2021.

Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan – Bagus Baini! dibangunkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah Chapter, Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Sabah Tourist Association (STA), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), MASwing serta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyeru kepada seluruh penjawat awam dan pesara agar merebut peluang keemasan ini untuk melancong secara bertanggungjawab dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kebiasaan baharu. Penjawat awam boleh mendapatkan tawaran pakej ini dengan hanya menggunakan pas pekerja mereka di agensi-agensi pelancongan terpilih. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia https://www.malaysia.travel/deals-packages dan di laman Facebook Tourism Malaysia Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.