27 Julai 2021, 22:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika bertanya kepada remaja yang berusia belasan tahun, masih ramai yang berada dalam dunia mereka sendiri tetapi berbeza dengan Ngdawiyah Ismail. Beliau yang mesra disapa sebagai Gie telah memulakan perjalanan seni dengan melukis dan menjual lukisan potret seawal usia 15 tahun. Kejayaan Gie memenangi Hadiah Melukis Potret Peringkat Sekolah Peringkat Negeri Perak pada tahun 1990 telah menjadi titik tolak kepada beliau untuk bergiat secara aktif dalam bidang seni lukis.

Gie menyatakan bahawa darah seni sememangnya mengalir dalam dirinya kerana semenjak zaman persekolahan, beliau banyak menghabiskan masa untuk melukis. Tambahnya lagi, dia sentiasa mempunyai idea atau lakaran dalam mindanya untuk melahirkan perasaan melalui limpahan warna. Beliau mewarisi bakat seni lukis dari emaknya dan belajar tentang teknik lukisan juga dari emaknya. Sebaik sahaja melangkah masuk ke satu sudut di dapur rumah di Kubang Batang, Pasir Mas, tetamu pasti terpegun melihat lukisan di dinding, lantai dan siling di rumah tersebut. Lukisan ala 7D (tujuh dimensi) itu memaparkan watak daripada sebuah buku yang berjudul, “Hikayat Kota Dewa” hasil tulisan Faran Yusof. Beliau mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan lukisan tujuh dimensi tersebut. Lukisan yang dipaparkan di dinding enam penjuru, lantai dan siling kelihatan seperti “hidup”. Gie berterima kasih kepada sahabatnya, Zuraida Awang kerana memberikan kepercayaan dan kebenaran kepada beliau untuk melukis lukisan tersebut di rumahnya. Hasil daripada lukisan tersebut, timbulnya idea untuk membuat muzium tujuh dimensi pertama di Malaysia hasil adaptasi buku “Hikayat Kota Dewa”.

Mereka telah bekerjasama dengan Faran Yusof yang juga merupakan penulis novel tersebut untuk menjayakan projek tersebut. Cabaran utama projek itu ialah menghasilkan 313 watak karakter purba dalam novel tersebut dalam bentuk lukisan. Sepanjang proses tersebut berjalan, Gie perlu membaca dan memahami dahulu seluruh alur penceritaan novel tersebut. Selepas itu, beliau menghasilkan sinopsis inti pati ringkas setiap bab dalam novel tersebut dan mula melakar watak karakter itu. Selepas selesai proses lakaran itu, Gie akan membuat alur penceritaan sebelum dipindahkan dalam bentuk lukisan.

Proses penghasilan watak dalam novel tersebut mempunyai cabarannya yang tersendiri. Sebagai contoh, penulis novel tersebut memberikan cabaran kepada Gie untuk menghasilkan watak Tok Jubah yang sangat menakutkan daripada sehelai rambut. Gie akan menggunakan daya imaginasinya untuk mencipta dan menggambarkan watak Tok Jubah itu berdasarkan ciri-ciri yang ditulis dalam novel dan gambaran yang diberikan oleh Faran Yusof. Oleh itu, Gie mencipta watak Tok Jubah dengan tidak menampakkan mukanya dan wataknya dibina daripada rambut. Antara watak terawal yang dicipta oleh Gie ialah Tok Jubah dan Nagasari.

Penghasilan watak bermula daripada watak yang mudah terlebih dahulu. Faran Yusof akan memberikan gambaran tentang watak itu kepada Gie. Proses penghasilan watak tersebut memerlukan daya imaginasi dan kemahiran berfikir aras tinggi kerana mahu menterjemahkannya dalam bentuk lukisan. Faran Yusof mahukan Gie mencipta watak yang lain daripada pengaruh luar seperti Hollywood dan lain-lain lagi. Oleh itu, Gie perlu bermain-main dengan daya imaginasinya bagi menghasilkan watak tersebut. Hasil lakaran watak tersebut akan dipamerkan dalam muzium sebagai bahan bukti dan rujukan untuk orang ramai melihat proses penghasilan satu-satu watak dalam “Hikayat Kota Dewa” kerana ia merupakan permulaan pencetusnya kewujudan muzium tersebut.

Proses penghasilan watak tersebut mempunyai dua fasa iaitu proses lakaran dalam kertas dan mengunakan adobe photoshop. Proses ini memerlukan kemahiran melukis dan grafik yang baik bagi membolehkan watak tersebut dihasilkan dengan cantik. Selain itu, beliau mahukan muzium tersebut mempunyai keunikan tersendiri iaitu pelawat akan menggunakan semua deria dan pancaindera mereka apabila melawat muzium tersebut. Oleh itu, beliau perlu mencipta props yang sesuai dengan latar yang terdapat dalam novel tersebut bagi memaksimumkan penggunaan deria dan pancaindera pelawat.

Pengalaman beliau sepanjang melawat Eropah kira-kira dua bulan sangat berguna dalam mencipta konsep muzium tersebut. Muzium di Eropah menggunakan konsep penceritaan narator secara maya untuk menceritakan sesuatu sejarah kepada pelawat. Gie mahu menggunakan konsep itu dalam muzium tersebut untuk menarik perhatian masyarakat. Oleh itu, para peminat novel “Hikayat Kota Dewa” dan peminat seni boleh menikmati pengalaman dan lukisan yang mengasyikkan dalam muzium tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.