10 Ogos 2021, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muharam merupakan bulan pertama dalam tahun Hijrah. “Muharam” bermaksud diharamkan, iaitu dalam bulan tersebut Allah SWT melarang berperang. Bulan ini mengingatkan umat Islam kepada dua perkara penting, iaitu satu daripada empat bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Setiap kali tibanya bulan ini, umat Islam meraikan sambutan tahun baharu dengan pelbagai pengisian, seperti bacaan doa hujung tahun dan awal akhir tahun dan tradisi mengacau bubur asyura pada 9 dan 10 Muharam.

Umat Islam di seluruh dunia akan mengerjakan ibadah puasa sunat tasu’a dan asyura pada 9 dan 10 Muharam. Di Malaysia, selain berpuasa pada hari tersebut, kebanyakan orang Islam juga mengambil kesempatan untuk membuat bubur asyura. Bulan Muharam seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran bubur asyura. Dari sudut bahasa, perkataan asyura dalam bahasa Arab bermaksud sepuluh, manakala dari segi istilahnya pula, asyura merujuk kepada tarikh 10 hari bulan, iaitu 10 Muharam.

Sejarah bubur asyura dikaitkan dengan pelbagai cerita yang diwarisi secara lisan daripada satu generasi kepada satu generasi. Ada cerita yang mengaitkan bubur asyura ini dengan peristiwa banjir besar semasa zaman Nabi Nuh dan ada pula yang mengaitkan bubur ini dengan perang Badar ketika zaman Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, cerita tersebut sekadar lisan tanpa sebarang bukti yang sahih.

Bubur asyura, sama seperti Namanya, mesti mempunyai 10 jenis ramuan. Jika tidak, bubur tersebut bukanlah bubur asyura. Terdapat pelbagai jenis hidangan tradisi Uniknya di Malaysia, bubur ini mempunyai ramuan dan resepi berbeza mengikut kawasan. Terdapat tiga jenis bubur asyura yang kebiasaannya menjadi hidangan tradisi masyarakat Melayu di negara kita, iaitu bubur asyura utara, bubur asyura pantai timur dan bubur asyura selatan. Bubur asyura utara teksturnya pekat dan kenyal serta mempunyai rasa yang manis kerana ramuannya mengandungi campuran beras, tepung, gula, kekacang, pisang, jagung dan pelbagai ubi-ubian. Bubur asyura jenis ini juga perlu dimasak dengan tempoh yang lama, seperti penyediaan dodol.

Manakala bubur asyura pandai timur atau sugho juga mempunyai teksturnya yang pekat dan kenyal, tetapi mempunyai rempah dan daging. Kedua-dua bubur ini menyerupai kuih dan boleh dipotong. Bubur asyura selatan pula berbeza sama sekali kerana teksturnya yang cair, seperti bubur lambuk, dan mempunyai pelbagai campuran ramuan seperti kekacang, sayuran dan daging. Walaupun ramuan semua bubur asyura tersebut berlainan, namun ketiga-tiganya dimasak secara bergotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.

Di Kelantan, aktiviti memasak bubur asyura dikenali sebagai kuca suro, manakala di negeri Terengganu aktiviti ini dipanggil kucar sure. Walau apa-apa pun panggilannya, aktiviti memasak bubur asyura yang dijalankan secara gotong-royong ini mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat. Tambahan pula, proses menyiapkan bubur ini mengambil masa yang agak lama membolehkan mereka yang terlibat bersembang dan berbual bagi menambahkan kemesraan antara satu sama lain.

Tradisi penyediaan bubur asyura ini juga sebagai rasa kesyukuran masyarakat orang Islam di Malaysia menyambut tahun baharu hijrah. Acara ini bukanlah acara wajib kerana ianya hanyalah sebagai tradisi dan kelaziman di Malaysia setiap kali tibanya bulan Muharam dan bukannya dituntut oleh agama. Sebaliknya, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharam, terutamanya pada 9 dan 10 Muharam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Berpuasa pada Hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Walaupun ada pihak yang mengaitkan bubur asyura ini sebagai amalan bidaah, namun sebenarnya tradisi mengacau bubur asyura mempunyai sisi pandang yang positif. Rewang atau gotong-royong ketika menyediakan bubur asyura merupakan antara gambaran nilai hidup masyarakat Melayu sejak sekian lamanya. Aktiviti yang memerlukan kerjasama yang erat akan mengukuhkan ikatan silaturahim sesama masyarakat. Seterusnya, agihan bubur asyura kepada masyarakat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan ialah perbuatan yang baik dan terpuji. Malah dalam Islam sendiri, memberi sedekah dalam bentuk makanan kepada golongan yang memerlukan amatlah digalakkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Daripada Abdullah ibnu Amru RA, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, Apakah amalan terbaik dalam Islam? Baginda bersabda, Memberi makan dan memberi salam kepada orang engkau kenal serta orang yang engkau tidak kenali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tradisi bubur asyura sememangnya tradisi yang perlu dipertahankan kerana terdapat pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada acara tersebut. Namun begitu, jangan pula ada antara kita yang memperbesarkan tradisi ini sebagai satu kewajipan dalam bulan Muharam. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti ini bukanlah amalan ibadah yang wajib, tetapi sekadar satu tradisi masyarakat di negara kita dalam usaha memeriahkan sambutan bulan Muharam. Sayangnya, pada tahun ini acara ini tidak dapat dijalankan secara bergotong-royong disebabkan negara masih berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan. Namun begitu, ada juga pihak yang membuat secara kecil-kecilan dan diedarkan kepada orang ramai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.