Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menganjurkan program webinar Melayu Citra Mahawangsa yang telah diadakan pada 17 Ogos 2021. Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Cabaran dan Masa Depan Manuskrip Melayu” yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook DBP dan ATMA. Program ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan data dan maklumat tentang manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia.
Program tersebut dirasmikan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP merangkap Pengarah ATMA. Dalam ucapan perasmian itu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan bahawa manuskrip Melayu merupakan perabadan Melayu yang meliputi akidah, syariah, perubatan, undang-undang, sejarah, perniagaan dan sebagainya. Oleh itu, beliau menyatakan bahawa pengkaji perlu mengkaji dan memelihara manuskrip tersebut supaya manuskrip itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
Beliau menambah pelan tindakan yang bakal digubal ini dapat memberikan panduan kepada penyelidik muda untuk terus mengkaji dan memelihara manuskrip Melayu. Selain itu, webinar ini dapat mengenal pasti kekuatan dan membina jaringan perhubungan untuk memantapkan usaha ini. Program ini turut disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara. Webinar dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi menampilkan beberapa wakil dari agensi kerajaan manakala sesi petang pula menampilkan pakar bidang.
Wakil agensi kerajaan terdiri daripada Hairuladzhar Mohd Hamdi; Perpustakaan UMK, Ratnawati Sari Mohamad Amin; Perpustakaan Utama UM, Hasmida Saleh, Harianti Hussain; Perpustakaan USIM, Datuk Zainal Abidin Borhan; Yayasan Karyawan dan Dr. Munawar Holil dari Masyarakat Pernaskhahan Nusantara (MANASSA).
Sesi petang pula menampilkan wakil pakar bidang yang dihadiri oleh Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria; Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu UKM, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad; Ketua Jabatan Bahasa Melayu UPM; Prof. Dr. Titik Pudjiastuti; Universiti Indonesia, Dr. Noriah Mohamaed; Kluster Tarbiah dan Persuratan Islam, Nadwah Ilmuwan; ABIM dan Dr. Azhar Ibrahim dari National University of Singapore. Kedua-dua sesi ini membincangkan untuk mendapatkan maklumat dan data tentang manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia.