29 Ogos 2021, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan berbeza latar budaya mempunyai kepelbagaian makanan dan juadah warisan masing-masing. Selain pakaian, makanan juga dapat menggambarkan budaya dan identiti masyarakat setempat. Namun, makanan warisan kini semakin kurang dikenali dan diminati oleh anak muda Malaysia. Pada 29 Julai 2021, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta, Indonesia telah menganjurkan webinar yang mengupas tentang Penjagaan Etika Budaya Lokal: Keunikan Makanan Warisan Malaysia.

Dalam webinar yang berlangsung secara dalam talian tersebut, Pensyarah Kanan FTV & Felo Penyelidikan UPSI, Dr. Mohd. Nazri Abdul Raji bertindak sebagai moderator bersama-sama dua orang penceramah, iaitu Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd Salehuddin Mohd Zahari sebagai panel pertama dan kurator Jabatan Warisan Negara (JWN) Zon Tengah, Jamilah Hani Esa sebagai panel kedua. Webinar ini mempunyai tiga topik perbincangan utama yang dibahagikan kepada tiga sesi, iaitu sesi pertama membincangkan pengenalan kepada makanan warisan Malaysia dan peranan agensi yang bertanggungjawab dalam memulihara makanan warisan. Sesi kedua pula membincangkan peranan pelajar dalam menghargai makanan warisan Malaysia manakala sesi terakhir merupakan sesi soal jawab.

Menurut panel pertama, makanan warisan merupakan makanan yang dimakan pada masa lalu, mewakili nilai tradisional, berkaitan dengan keaslian, makanan tempatan dan mempunyai rasa yang berbeza. Panel kedua pula menyatakan bahawa menurut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), makanan warisan terangkum dalam warisan tak ketara dan secara umumnya makanan warisan didefinisikan sebagai makanan tradisional. Melalui webinar ini, penonton dapat mengetahui makanan warisan yang telah diwartakan seperti laksa, nasi lemak dan sebagainya. Menurut panel kedua, JWN telah merancang pelbagai program untuk melestarikan makanan warisan tetapi pandemik Covid-19 menyebabkan pelbagai program dan aktiviti  yang dirancang tersebut terpaksa ditangguhkan.

Webinar keilmuan seperti ini seharusnya diperbanyak agar generasi muda dapat mengenali kepelbagaian makanan warisan yang ada di Malaysia. Makanan warisan merupakan antara budaya yang perlu dilestarikan agar tidak pupus dan hilang ditelan zaman. Selain webinar, pertandingan memasak bertemakan warisan makanan juga perlu diperbanyak sebagaimana Pertandingan Memasak bertemakan Makanan Warisan Lenggong-Minum Petang yang dianjurkan sempena Karnival Lenggong 2021 yang lepas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.