13 September 2021, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang Seniman Agung P. Ramlee dianggap pengarah filem terpenting dalam sinema Melayu. Filem beliau mempunyai ciri-ciri sebuah filem yang baik, iaitu menghibur, mendidik dan memberitahu sesuatu yang tersirat. Sebagai seorang pengarah, P. Ramlee telah memanfaatkan bahan dari persekitaran masyarakat untuk diolah ke dalam filem beliau, termasuklah bahan dari cerita rakyat seperti Musang Berjanggut dan Nujum Pak Belalang.

Pada 11 September 2021, berlangsungnya Bual Bicara Karya P. Ramlee anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Rumah Kelahiran P. Ramlee, Pulau Pinang dan Arkib Negara Pulau Pinang.  Dua orang panel telah diundang untuk menjayakan sesi tersebut ialah Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang dan Siti Raihani Mohamed Saaid, penulis dan pengkaji filem P.Ramlee. Dalam sesi tersebut, Tan Sri Dato’ Seri Yussof Latiff sebagai anak jati Pulau Pinang banyak berkongsi pengalaman peribadinya bersama Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Pada usia 85 tahun, Tan Sri Yussof merupakan antara sahabat P. Ramlee yang masih hidup.

Selain memperkatakan tentang sifat pemurah dan bakat alami yang dimiliki oleh Seniman Agung tersebut, Tan Sri turut berkongsi bahawa P. Ramlee merupakan antara orang yang aktif dalam permainan sepak raga di Pulau Pinang. Apabila berhijrah ke Singapura, P. Ramlee telah mempopularkan sukan sepak raga di kota besar itu. Sebagai orang kuat Presiden Kelab Peminat P. Ramlee, Tan Sri turut berkongsi perancangan yang telah dilakukan dan akan datang oleh kelab untuk memastikan supaya sumbangan kesenimanan P. Ramlee mendapat tempat yang sewajarnya. Selain daripada memperkenalkan subjek Pemikiran Filem P. Ramlee seperti yang pernah diajar di ASWARA ke institusi pendidikan yang lain, pihak Tan Sri juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee.

Siti Raihani yang sedang mengkaji filem P. Ramlee untuk tesis Doktor Falsafahnya pula membincangkan tentang sumber idea yang diangkat oleh P. Ramlee ke dalam filem beliau. Antara soalan yang diajukan ialah khusus mengenai filem Nujum Pak Belalang (1959) yang diangkat daripada cerita rakyat. Siti Raihani telah menghuraikan perbandingan antara Nujum Pak Belalang versi cerita rakyat dengan versi filem dari segi watak dan perwatakan serta jalan cerita. Beberapa pengubahsuaian itu dibuat oleh P. Ramlee mengikut kreativiti beliau bagi memenuhi tuntutan komersial serta boleh difilemkan mengikut teknologi perfileman yang ada ketika itu.

Siti Raihani turut menjelaskan bagaimana P. Ramlee mengambil serius akan peranannya selaku pengarah untuk menjadikan filem sebagai medium hiburan, didikan dan kritikan terhadap masyarakat. Beberapa buah filem beliau misalnya, disampaikan dalam bentuk komedi kerana beliau amat memahami sifat masyarakatnya yang tidak boleh ditegur secara berterus-terang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.