25 September 2021, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makhluk halus yang dikenali sebagai “saka” ialah pendamping yang terdiri dalam kelompok jin atau syaitan yang pernah berkhidmat kepada pemiliknya (manusia), manakala perkataan saka dalam konteks bahasa bermaksud “leluhur” atau “pusaka”. Pemilikan makhluk halus tersebut boleh berlaku secara sedar atau tanpa sedar. Pada masa dahulu, pemilikan makhluk halus oleh seseorang adalah berdasarkan fungsi, tugas, termasuklah menjadi pembantu atau pelindung diri dan keluarga bagi mereka yang berkepentingan dan berhajat. Sebagai misalnya, makhluk halus yang ditugaskan untuk menjadi perantaraan dalam mengikat kasih sayang antara suami dan isteri, memberi kecantikan wajah, menundukkan pasangan dan sebagainya.

Sebelum menjadi saka, makhluk halus ini disebut sebagai jin khadam, jin peliharaan atau jin suruhan. Namun, setelah pemilik asalnya meninggal dunia atau mahu melepaskan makhluk halus tersebut, makhluk halus mulai disebut sebagai saka atau jin warisan kerana menjadi tinggalan sama ada diwarisi secara rasmi atau tanpa disedari oleh individu yang bakal menerimanya.

Pewarisan saka yang diadakan secara rasmi antara pemilik makhluk halus dengan penerima pada kebiasaannya akan memasukkan elemen ritual dan upacara akad (pengijazahan) sebagai tanda setuju menerima makhluk halus tersebut. Kadangkala, pemiliknya menyerahkan beberapa barangan sebagai tanda persetujuan seperi pemberian alat pusaka termasuklah barangan tembaga, cincin, keris, serunai, rebab, patung wayang kulit, dan kain berwarna kuning atau hitam kepada orang yang sanggup mewarisi saka. Bagi menjaga hubungan baik dengan makhluk halus tersebut, individu itu haruslah mematuhi segala pantang larang dan syarat-syaratnya. Sebagai misalnya, mengasapi alat pusaka dengan kemenyan pada masa dan hari tertentu, atau mengadakan sajian pemujaan seperti buang ancak atau berjamu. Sekiranya syarat itu tidak dilaksanakan, dipercayai orang tersebut akan mendapat penyakit hasil gangguan daripada makhluk halus tersebut.

Sekiranya pemilik saka telah meninggal dunia, dan tidak berlaku proses pewarisan saka,  dipercayai bahawa saka tersebut akan memilih sendiri ahli keluarga pemilik, yang dirasakan sesuai untuk “menumpang” atau tinggal bersama-sama dengannya. Selain keturunan, saka juga boleh berpindah kepada sahabat atau orang yang pernah akrab dan rapat dengan pemilik saka. Dalam kes ini, orang tersebut langsung tidak menyedari kewujudan saka pada dirinya, melainkan diperlihatkan setelah mendapat gangguan daripada makhluk tersebut. Gangguan saka mempunyai beberapa tanda semasa sedar atau sewaktu tidur. Antara tanda-tanda gangguan saka semasa sedar termasuklah gangguan pada emosi termasuklah tidak dapat mengawal kemarahan, kesedihan tanpa mempunyai sebab, hilang keyakinan diri, dan hilang daya tumpuan, mengalami kesesakan nafas dan keletihan tanpa diketahui puncanya; mendengar bisikan di telinga tanpa diketahui individu yang menyampaikan; mengalami gangguan rumah tangga seperti membenci pasangan dan tertutupnya keinginan bersama pasangan, serta mengabaikan perintah yang disyariatkan dalam agama Islam seperti solat atau sering melakukan kemaksiatan yang dilarang dalam agama.

Antara tanda gangguan saka sewaktu tidur termasuklah mimpi melihat anjing, unta dan ular, mimpi melihat jelmaan makhluk yang mengerikan, memperkenalkan diri lalu mengajarkannya untuk berbuat syirik atau memberi tunjuk ajar cara-cara rawatan yang menyalahi syariat Islam, mimpi ahli keluarga yang telah meninggal dunia dalam keadaan menyerahkan benda yang dipercayai mempunyai kuasa luar biasa (keramat),  mimpi berada di kawasan perkuburan, lemas di tengah-tengah lautan atau sungai, atau sesat di hutan seorang diri, mimpi jatuh dari tempat tinggi, mimpi berada di kawasan kotor atau kawasan pembuangan sampah, dan mimpi melihat bayi atau menyusukan bayi tersebut (khusus kepada wanita).

Bahaya bakal timbul sekiranya perpindahan saka kepada individu atau kepada individu yang kurang faham tentang kewujudan atau keberadaan makhluk halus tersebut. Saka itu akan bertindak memunculkan diri dalam pelbagai bentuk sama ada dalam perwatakan orang alim (berjubah, berkopiah, berserban) atau mendakwa dirinya para wali. Penjelmaan tersebut memungkinkan individu tersebut mempercayai setiap arahan, suruhan atau segala perintah makhluk halus itu sehingga wujudnya amalan yang bercanggah dalam syariat Islam.

Namun begitu, tidak keseluruhan para bomoh atau bidan yang mempunyai saka kerana kemahiran dalam mengubat tidak semestinya diperoleh daripada “penjajian leluhur” dengan makhluk halus, tetapi kepandaian itu hasil usahanya atau pelajaran yang diterima daripada guru. Pelajaran mengubat itu termasuklah menguasai tentang kaedah, cara, jenis ubat-ubatan serta jampi yang disyariatkan dalam Islam. Misalnya, bomoh patah berkemahiran untuk memulihkan tulang yang patah, bomoh urat berkemahiran untuk memulihkan sendi atau urat yang terseliuh, manakala bidan berkemahiran memulihkan kesihatan wanita yang bersalin.

Sebahagian besar, kepercayaan tentang adanya saka dalam badan atau dalam keturunannya  masih tidak diketahui oleh masyarakat umum, terutama mereka yang selalu terkena penyakit misteri, pengsan secara tiba-tiba, atau sering mengalami kerasukan makhluk halus. Antara kesan lain gangguan saka kepada diri seseorang termasuklah kesukaran untuk mendapatkan zuriat, mengalami penyakit yang tidak dapat dikesan oleh pengubatan moden, atau lebih cenderung untuk bersendirian tanpa melibatkan diri dalam aktiviti sosial atau bermasyarakat.

Terdapat nama-nama saka berdasarkan ilmu yang dituntut oleh para pengamal seperti saka kebal, saka penggerun, saka kasih sayang, saka seri muka, saka pukau, saka kuat nafsu, saka kuat kerja, saka buluh perindu (suara menjadi lunak atau merdu), saka pelaris, saka syarat tubuh, saka penunduk, saka pagar rumah, saka halimunan (atau dalam ilmu kebatinan disebut ilmu angbah jumantara), dan saka silat. Selain itu, ada juga nama-nama saka berdasarkan jenis jin yang dibela atau dijadikan khadam. Misalnya, saka hantu raya, saka jembalang, saka bajang, saka ular, saka buaya, dan saka harimau. Untuk saka harimau, saka ular atau saka buaya, makhluk halus itu digunakan untuk tujuan menjinakkan binatang tersebut.

Ada juga jenis saka yang digunakan bagi tujuan pengubatan, persilatan atau pendinding diri. Misalnya, saka hantu raya digunakan bagi tujuan pengubatan, memagar rumah atau kebun, mengusahakan tanaman di ladang dan kebun, pendinding diri, penghalang daripada diganggu oleh musuh, malah sebagai pembantu dalam urusan pekerjaan. Orang yang mahu mendapatkan saka hantu raya biasanya akan mengadakan beberapa amalan ritual yang disertai dengan bacaan mantera, seperti berikut;

Hei si hantu raya,

Engkau taat perintahku,

Ikut segala perintahku.

Hei si hantu raya,

Menyerupai engkau serupa aku,

Menyerupai engkau dalam diriku,

Jangan engkau langgar perintahku …

 

Rawatan pemulihan untuk mengubati orang yang diganggu saka atau kaedah membuang saka mempunyai beberapa cara. Pada masa dahulu, kaedah pembuangan saka dan gangguan makhluk halus menggunakan pengubatan ritual seperti main puteri (main teri), bagih dan ulik mayang. Namun begitu, perbuatan ini  jelas menyalahi syariat Islam kerana mengandungi amalan tahyul dan khurafat, malah tidak diajar dalam sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, Islam menggariskan beberapa cara dan kaedah rawatan yang bertepatan dengan syariat dan hukumnya.

Sebagai misalnya, Pusat Rawatan Islam al-Hidayah secara keseluruhannya menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam proses rawatannya. Selain itu, pesakit juga disarankan untuk mengamalkan beberapa ayat al-Quran bagi tujuan mencegah dan mengusir saka daripada badannya. Misalnya, dibacakan dan diamalkan Surah al-Zumar 39:59 − 75, Surah al-Mu’minun 23:105 − 118, Surah al-Baqarah 2:1 − 20, dan Surah ar-Ra’d 13:30 − 43.

Amalan secara bacaan al-Quran juga ditetapkan dalam beberapa kaedahnya. Misalnya, bacaan pertama dimulakan dengan surah Ar-Ra’d 13:30 − 43. Surah itu harus dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut pada waktu malam (selepas isyak), manakala bacaan kedua adalah dengan mengamalkan surah al-Mu’minun 23:105 − 118 yang harus dibacakan sebanyak tiga kali berturut-turut pada waktu siang. Amalan itu mesti diteruskan selama tempoh empat minggu berturut-turut.

Selain itu, kaedah yang lain juga digunakan oleh sebahagian perawat. Kaedah ini perlu dibuat oleh pesakit atau orang yang mahu membuang saka. Kaedah pertama ialah dengan mendirikan solat hajat berserta bacaan Surah al-Fatihah, Surah al-Baqarah 2:255 (ayat Kursi), Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, dan Surah an-Nas. Setelah selesai solat hajat, pesakit disarankan untuk melafazkan tasbih, takbir dan membaca Surah al-Fatihah sebanyak 21 kali, serta diakhiri dengan doa atau disebut sebagai doa pengisytiharan. Misalnya, “Ya Allah, aku tiada lagi hubungan dengan makhluk jin atau khadam yang berada bersama-sama aku dan harta benda aku. Hanya kepada-Mu ya Rabb aku memohon pertolongan dan kepada-Mu jua aku kembali.”

Kaedah seterusnya ialah membuang semua barang atau alat pusaka yang dimiliki oleh pesakit. Pada kebiasaannya, benda pusaka yang dipercayai mempunyai makhluk halus telah dipasung sebelum ini oleh pemiliknya. Maka, pasungan itu perlu dileraikan oleh pengubat dengan membacakan Surah al-Fatihah sebanyak satu kali yang disertai dengan Surah al-Fath, dan Surah al-Furqan. Secara keseluruhan, saka itu akan meninggalkan tubuh badan pesakit, bergantung keizinan dan kekuasaan Allah SWT.

 

PERINGATAN: Paparan mantera adalah sebagai contoh bacaan semata-mata. Mantera yang dipaparkan dilarang untuk diamalkan oleh pembaca.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.