Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPropaganda merupakan paparan maklumat yang terkandung dalam karya filem yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi masyarakat. Dengan propaganda, berlakulah pemanipulasian fakta atau hujah yang menimbulkan khabar angin dan fitnah. Propaganda juga dikaitkan dengan pembohongan. Jadi sesebuah karya seperti filem dimanipulasikan bertujuan untuk menangkap atau menerap yang menimbulkan satu kesan yang kuat kepada penonton filem tersebut. Segala paparan imej menampilkan deretan simbol watak-watak yang bertujuan menggugah dunia melalui paparan kekuasaannya. Ia dilakukan secara sistematik dengan menebarkan indoktrinasi tertentu bertujuan ‘menangkap jiwa’ sang penonton walaupun apa yang dipaparkan dalam sesebuah filem itu tidak benar. Kesannya akan mempengaruhi fikiran penonton, mengubah kepercayaan, mengubah sikap dan tindakan penonton.
Tanah Melayu sebelum era penjajahan Jepun, banyak filem diimport dari Barat dan Eropah, termasuk dari India. Apabila Jepun menghampiri dan menduduki Tanah Melayu, slogan yang biasa dikumandangkan ialah Asia untuk Orang Asia, iaitu Asia Raya yang bertujuan menyatukan Asia di bawah bendera Jepun. Mereka hendak mencelikkan rakyat bahawa kita telah dijajah oleh Barat atau kolonial Inggeris. Mereka hendak kita buka mata, yakin dan boleh berdikari dengan membebaskan diri daripada Inggeris. Persoalannya, apakah itu benar dan adakah itu sebenarnya niat pentadbiran Jepun apabila membebaskan Tanah Melayu pada waktu itu? Sedangkan ada sisi-sisi yang mengawal yang menyebabkan kita patuh kepada dasar-dasar, perintah dan permintaan Jepun. Maka berlakulah pemasyarakatan budaya Jepun terhadap masyarakat kita.
Perkara pertama yang Jepun lakukan ialah mengubah sistem pendidikan apabila mereka mengajar bahasa Jepun dan mengubah kurikulum dan disiplinnya. Maknanya untuk menjadi Asia untuk Orang Asia, hendaklah belajar bahasa Jepun. Ini salah satu propaganda yang terbukti berlaku.
Apabila berjaya menakluki Tanah Melayu, pentadbiran tentera Jepun telah menubuhkan Niphon Eiga Haikya Sha pada 31 Mac 1942 di Singapura yang merupakan badan penyiaran termasuk filem yang mengawal semua siaran dan semua pawagam tertakluk kepada arahan Jepun. Pada 16 Februari 1942, semua tayangan filem dihentikan. Hanya filem yang akur dengan syarat akan ditayangkan. Semua filem Amerika, India dan Barat lain yang diimport sebelum Perang Dunia Kedua ditapis sebelum ditayangkan. Unsur-unsur propaganda Barat dibuang. Bermula pada bulan Mac 1942, 40 hingga 50 buah filem Jepun diimport masuk melalui Singapura dan Jakarta dan ditayangkan.
Perkara ini diakui oleh Fadhli Al-Akiti, Editor majalah Dewan Sastera, sebagai panel khas Wacana Sosiobudaya Peradaban yang dianjurkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) pada 25 September lalu. Beliau juga merupakan ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan pernah diundang menyampaikan ulasan filem di Gala TV Plus di Astro Awani. Malah, beliau pernah dilantik sebagai panel hakim untuk Festival Filem Malaysia ke-25. Fadhli telah diberikan penghormatan sebagai tokoh pertama oleh PERADABAN sebagai pembicara tamu bagi merintis dan menjayakan program Wacana Sosiobudaya Peradaban kali pertama ini.
Sejak tahun 1929, Jepun memperkenalkan Undang-undang Wayang Gambar yang dikenali sebagai Eigo Ho. Mereka memaparkan filem yang mengisi nilai propaganda yang tinggi mengandungi pengajaran moral dan indoktrinasi politik (Asia untuk Orang Asia) termasuklah penerapan semangat mengorbankan diri atau hara kiri dalam peperangan, tambah Fadhli.
Pada bulan Julai 1938, di negara Jepun; syarat-syarat pembikinan filem telah dikawal. Kesemua idea individualistik Barat telah dihapuskan dan semangat Jepun, misalnya ketaatan kepada maharaja Jepun, keluhuran sistem kekeluargaan dan semangat korban diri untuk negara dan masyarakat telah diterapkan. Cara hidup pihak Barat dihindarkan, tingkah laku tidak sopan khususnya dalam kalangan wanita dilenyapkan dan mereka meningkatkan rasa hormat kepada maharaja dan orang tua mereka.
Pada tahun 1942, beberapa syarat tambahan diperkenalkan. Setiap lakon layar yang berunsur hiburan mesti bertema positif (anti pesimis) dan para pelawak disekat jika melampaui batas. Selain itu, perkara yang dilarang termasuklah kisah orang borjuis, kisah individu semata-mata, wanita perokok dan adegan di kafe seperti minum arak, dan kelakuan tidak senonoh yang lain yang biasa dipaparkan dalam filem Barat. Antara perkara yang disarankan ialah paparan sektor produktif dalam masyarakat, dan kisah kehidupan di luar bandar. Filem yang menepati syarat diletakkan taraf sebagai filem ‘negara’ dan disebarkan untuk tayangan umum.
Untuk menjayakan perkara ini, mereka melakukan tapisan skrip praproduksi dan mengubah serta menulis semula skrip yang bermasalah. Oleh sebab syarat yang ketat tersebut, selain filem import, berita dan dokumentari, hanya dua filem cereka propaganda dibuat di Tanah Melayu, iaitu Shingaporu Sokogeki (Serangan Singapura) (1943), arahan Koji Shima. Filem ini memaparkan kemaraan tentera Jepun dari Kelantan hingga Singapura. Marai No Tora (Harimau Malaya) (1943) diarahkan oleh Koga Masato. Marai No Tora berdasarkan kisah sebenar lelaki Jepun bernama Tani Yukata, ejen Jepun (asal Terengganu) di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua yang mati kerana demam malaria di hospital Singapura. Pihak luar meletakkan Tani Yukata sebagai penjahat manakala Jepun menganggapnya sebagai wira atau pejuang mereka. Tani Yukata ialah agen perisikan tentera Jepun. Filem-filem ini bersikap ‘menjual’ kejayaan Jepun pada waktu itu.
Berdasarkan pengamatan Fadhli, tiga orang tokoh perfileman Jepun pada waktu itu ialah Kenji Mizoguchi, Yasujiro Ozu dan Akira Kurosawa. Kenji Mizoguchi (1898-1956), memaparkan filem berunsur epik, sosiodrama dan realisme, contohnya The 47 Ronin (1941). Filem ini menaikkan semangat rakyat Jepun untuk keluar dari Jepun bagi menakluki negara lain. Yasujiro Ozu (1903-1963) pula berminat kepada filem bertema kekeluargaan atau sosiodrama. Antara filem beliau ialah Brothers and Sisters of the Toda Family (1941). Akira Kurosawa (1910-1998) pula dianggap paling berpengaruh dalam kalangan pembikin filem Melayu dan menghasilkan filem, antaranya berjudul Sanshiro Sugata (1943/1945).
Filem-filem Jepun meninggalkan pengaruh kuat kepada perfileman Melayu selepas era pendudukan Jepun. Filem Sanshiro Sugata (1943/1945) yang mengangkat seni bela diri Jepun misalnya telah diadaptasi ke dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Kanchan Tirana (1969) arahan P. Ramlee. Filem Rashomon (1950) pula mempengaruhi filem Semerah Padi (1956) juga arahan P. Ramlee dan Throne of Blood (1957) diadaptasi ke dalam filem Istana Berdarah (1964) arahan Hussein Haniff.
Menurut Fadhli, umumnya filem era Jepun ini dilupakan dan makin dilupakan dan tidak banyak diperkatakan. Aiko Kurasawa (1987), seorang tentera Jepun mengatakan filem propaganda Jepun ini untuk minshin ha’aku (menawan jiwa massa) yang mempengaruhi dan ‘menjinakkan’ (senbu kosaku) masyarakat Tanah Melayu. Mereka meletakkan filem sebagai bahan paling berkesan sebagai pendedahan kepada dasar-dasar Jepun walaupun tidak semua filem berjaya melaksanakan peranan propaganda ini. Golongan intelektual atau bandar kurang terkesan tetapi golongan luar bandar atau marhaen agak terkesan dari segi hiburan, tetapi bukan doktrinnya. Hal ini mungkin disebabkan oleh singkatnya masa pendudukan dan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Namun sudah ada pendedahan budaya, sikap dan falsafah Jepun yang diterapkan pada waktu itu. Dan ini terbukti melalui pengaruh perfileman propaganda Jepun yang diterapkan ke dalam filem Melayu yang diarahkan oleh anak muda Melayu selepas itu.
Wacana ini dirasmikan oleh Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden PERADABAN dan Kamarulzaman Ismail sebagai moderator.