1 Oktober 2021, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam usaha untuk melestarikan bidang bahasa, budaya dan kesusateraan Melayu, serta melonjakkan revolusi dunia pendidikan abad ke-21, Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, Sabah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak, dengan kerjasama Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, Indonesia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Seminar Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan Melayu kali keempat (SEBAHTERA IV) pada 29 September hingga 30 September 2021.

Seminar yang bertemakan “Bahasa, Budaya dan Sastera Mendepani Era Revolusi Pendidikan” itu diadakan sebagai daya upaya memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pedagogi dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan, selain merapatkan hubungan setiakawan antara negara serumpun. Ucaptama SEBAHTERA IV disampaikan oleh Profesor Dr. Akin Duli, Dekan Fakultas Ilmu Budaya UNHAS dan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucaptamanya yang berjudul Strategi Pemerkayaan Khazanah Persuratan untuk Pemerkasaan Tamadun Melayu, daya hidup sesuatu tamadun banyak bergantung pada perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang. Selain perhatian terhadap kepentingan karya ilmiah seperti jurnal dan buku, satu lagi aspek persuratan, iaitu karya kreatif, seperti cerpen, novel, drama dan puisi, turut memiliki nilai ilmu dalam pembinaan sesuatu tamadun.

“Perhatian terhadap persuratan ilmiah dan karya kreatif sangat penting kerana menjadi ukuran lestarinya dan mantapnya sesuatu tamadun itu apabila kedua-dua aspek persuratan ini dijelmakan dengan sempurna. Hal ini menjadi agenda yang rapat dan berkaitan dengan bidang tugas para peserta SEBAHTERA IV,” kata Profesor Datuk Seri Dr. Awang. Tambah beliau, pemerkayaan khazanah persuratan ialah satu upaya untuk memenuhi matlamat globalisasi dua hala atau seimbang, iaitu globalisasi dari Timur ke Barat sebagai imbangan globalisasi selama ini dari Barat ke Timur. Dalam hal ini, keterbelakangan dalam bidang ilmu dan karya kreatif menjadi salah satu sebab yang menjejaskan daya hidup tamadun, termasuklah tamadun Melayu.

Apabila membicarakan soal hubungan antara ilmu dengan tamadun, Profesor Datuk Seri Dr. Awang menyatakan bahawa ilmu menjadi dasar kemunculan dan penakatan tamadun manusia, berdasarkan bukti daripada sejarah tamadun Yunani, Rumawi, Islam dan lain-lain, termasuklah tamadun Melayu. Berdasarkan rujukan daripada sumber agama seperti al-Quran, hadis, huraian para sarjana seperti Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun, suburnya ilmu sesuatu bangsa menjadi salah satu faktor utama daya hidup sesuatu tamadun.

“Tidak ada tamadun yang dapat tumbuh dan berkembang serta tersohor tanpa landasan ilmu. Maka itu, soal memperkaya khazanah ilmu dalam pelbagai bentuk sangat penting dan perlu diberikan perhatian oleh para pendukung tamadun, pemerintah dan sebagainya,” ujar Profesor Datuk Seri Dr. Awang.

Tambah beliau, jika dilihat dalam ketamadunan Melayu, pelbagai ranah ilmu dikembangkan dan disuburkan melalui bahasa Melayu. Pada zaman kesultanan Melayu, selain ilmu tentang keagamaan, muncul juga ilmu duniawi seperti ilmu perubatan, persenjataan dan sejarah. Banyak manuskrip ilmu ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia, antaranya termasuklah manuskrip kitab bedil yang diterbitkan oleh DBP, manuskrip pensejarahan Sulalatus Salatin, epik Hang Tuah dan surat-surat Sultan Abdul Hamid Kedah yang mewakili ranah diplomasi. Kebangkitan tamadun Melayu dan kecemerlangan ilmu dalam bahasa Melayu ini sewajarnya dijahit benang kesinambungannya hingga kini.

Dalam ucaptama ini juga, Profesor Datuk Seri Dr. Awang membentangkan cadangan projek penerbitan digital DBP sebagai salah satu usaha memperkaya ilmu persuratan berbentuk digital sebagai wadah menyampaikan ilmu tersebut, bukan sahaja dalam negara, bahkan seluruh dunia. Antara bidang yang ditekankan dalam projek tersebut termasuklah bidang sains dan teknologi; sains sosial dan kemanusiaan; agama, falsafah dan tamadun Islam; bahasa Melayu; sastera dan persuratan Melayu; dan kanak-kanak dan remaja.

SEBAHTERA IV yang diadakan secara dalam talian melalui perisian Google Meet ini turut membicarakan hal bahasa dan komunikasi, linguistik, kritikan sastera, kesusateraan Melayu Nusantara, kemahiran insaniah, dan pembelajaran abad ke-21. Selain sebagai wahana bagi membentangkan kertas penyelidikan, penganjuran SEBAHTERA IV juga mampu meningkatkan pembudayaan dan pemerkasaan penyelidikan sebagai teras dalam sistem pendidikan dan keilmuan.

Kira-kira 90 orang peserta menyertai SEBAHTERA IV yang terdiri daripada para pensyarah, guru dan warga Kementerian Pendidikan Malaysia, pelajar pascasiswazah dan para penyelidik. Yang turut hadir sama mengikuti ucaptama SEBAHTERA IV ialah Datuk Haji Abang Sallehuddian Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Tuan Doti Asing, Pengarah IPGK Keningau, Profesor Dr. Akin Duli, Dekan Fakultas Ilmu Budaya UNHAS, Puan Anis Alisya Abdullah, Pengarah IPGK Tun Abdul Razak, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.