4 Oktober 2021, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Jabatan Warisan Malaysia telah menganjurkan Bual Bicara Eksklusif yang diadakan pada 4 Oktober 2021. Tajuk  program ini ialah “Kedah Tua: Warisan Tamadun Silam”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Jabatan Warisan Malaysia. Noorazrene Mohd Noor bertindak selaku moderator dalam program tersebut.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang penemuan kajian arkeologi di Bukit Choras dan Cherok Tok Kun yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Kedah Tua. Program tersebut menampilkan  seorang ahli panel iaitu Dr. Nasha Rodziadi Khaw yang merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Dr. Nasha menerangkan tentang sejarah kewujudan kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua merupakan pusat perdagangan yang terkenal di seantero dunia kerana terletak di antara laluan perdagangan timur dan barat. Tamadun kerajaan Kedah Tua juga menjadi tempat persinggahan mubaligh Buddha dan secara tidak langsung menjadikan Kedah Tua sebagai pusat penyebaran agama Buddha.

Pada peringkat kedua perbincangan, beliau menerangkan bahawa kewujudan candi dan artifak di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya disebabkan oleh kemajuan teknologi besi pada zaman kerajaan Kedah Tua. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan relau peleburan besi di tapak arkeologi Sungai Batu.Tapak peleburan besi itu berasal dari tahun 672 Masihi. Keadaan itu secara tidak langsung menjadikan penemuan arkeologi batu bersurat di Cherok Tok Kun mempunyai kaitan dengan kerajaan Kedah Tua kerana kawasan Seberang Perai Utara merupakan kawasan paling selatan kerajaan Kedah Tua. Selain itu, batu bersurat itu menggunakan bahasa Sanskrit dan tulisan Pallava grantha. Hal ini membuktikan bahawa Kedah Tua telah menjadi pusat perdagangan yang penting dari barat dan timur.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.